POLITIK DALAM KERANGKA UMAT ISLAM (I)

FIQH WASAIL DAN POLITIK

Dalam perbincangan Fiqh, hukum tidak boleh lepas dari dua elemen penting, iaitu elemen maqasid dan elemen wasail. Tanpa kedua-dua perkara ini, perkara syariah akan dilihat beku dan jumud. Juga, perbincangan tentang ijtihad juga akan jadi tidak relevan.

Maksud maqasid adalah capaian bagi kemuncak bagi syariat, yang dengannya disyariatkan segala hukum. Maqasid syari’ atau tujuan pensyariatan oleh pembuat syariat ialah memberi kemaslahatan kepada hamba pada dunia mereka dan akhirat mereka[1], sama ada dengan cara menarik manfaat atau dengan cara menolak mudharat. (Dr Yusuf al-Alim, Al-Maqasid al-‘Ammah li-al-Syariiyyah al-Islamiyyah , halaman 79)

Sekiranya mendatangkan kemaslahatan, maka ia adalah perkara yang perlu diperakui. Adapun mendatangkan mafsadah, maka ia hendaklah ditolak.

Adapun wasail, ia adalah penghubung kepada capaian terhadap maqasid. (Dr Yusuf al-Alim, Al-Maqasid al-‘Ammah li-al-Syariiyyah al-Islamiyyah , halaman 79)

Dalam erti kata yang lain, tanpanya, maqasid tidak akan tercapai. Dengan erti kata yang lain, wasail sebagai ‘orang tengah’ dalam menentukan capaian terhadap keputusan akhir, apakah ia mencapai maslahah atau mafsadah.

Perkara ini diakui oleh ulama-ulama maqasid sendiri. Antara yang mengakui perkara ini adalah al-Izz bin Abd al-Salam. Beliau menyatakan;

“Tidak syak lagi bahawa melantik Qadhi dan pemerintah adalah sebahagian dari wasail atau elemen penghubung kepada capaian maslahah” (Al-Izz bin Abd al-Salam, Qawaid al-Ahkam fi Masalih al-Anam, jilid 1, halaman 53)

Kadangkala wasail itu bersifat pelbagai dalam mencapai satu sahaja maqasid. Dalam hal ini, syariat mengiktibarkan atau mengambil kira  pada wasail yang lebih banyak memberi penghasilan kepada capaian maqasid berbanding wasail yang kurang memberi penghasilan kepada capaian maqasid. (Ibn Asyur, Maqasid al-Syariiyyah al-Islamiyyah , halaman 419)

ADA DALAM NAS DAN TIADA DALAM NAS

Jika diselidiki pada kandungan nas (al-Quran dan al-Hadis), kita akan dapati bahawa setiap kandungan syariah itu, tidak lepas mengandungi dua unsur penting, iaitu maqasid dan wasail. Kadangkala, wasail itu termaktub dalam nas. Kadangkala yang lain, ia tidak termaktub dalam nas, makanya akal digunakan dalam menentukan wasail selama tidak melanggar batasan yang ditetapkan oleh syariah secara umum.

Secara asasnya, wasail itu hendaklah diperhatikan dalam dua keadaan, sama ada mempunyai nas, ataupun tidak mempunyai nas.

ADA NAS

Wasail yang ada nas ini, tertakluk kepada semua Fiqh, hatta pada Fiqh ibadat sekalipun. Menurut al-Qaradhawi, perkara wasail ini berlaku juga dalam perkara ibadat.

Antara contoh yang beliau kemukakan adalah penerimaan sebilangan ulama besar tentang penggunaanhisab falaki atau kiraan falak dalam menentukan masuknya bulan Ramadhan dan keluarnya. Ia berasaskan kepada satu hadis daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW  ada bersabda;

صُومُوا لِرُؤْيَتِهِ وَأَفْطِرُوا لِرُؤْيَتِهِ فَإِنْ غُبِّيَ عَلَيْكُمْ فَأَكْمِلُوا عِدَّةَ شَعْبَانَ ثَلَاثِينَ

“Berpuasalah kamu dengan melihat anak bulan, dan berhari rayalah kamu dengan melihat anak bulan. Sekiranya kabur, maka hitunglah/hisablah bilangan dalam syaaban sebanyak tiga puluh (hari)”( Al-Bukhari,bab perkataan Nabi SAW “apabila kamu nampak anak bulan, maka berpuasalah. Apabila kamu nampak anak bulan, berhari rayalah”, hadis no : 1776.  Muslim, bab kewajipan berpuasa dan berhari raya dengan tengok anak bulan, hadis no : 1810.)

Dalam hadis ini, dipaparkan wasail untuk mencapai maqasid (berpuasa dan berhari raya), iaitu dengan melihat anak bulan. Namun begitu, dalam hadis ini juga, Nabi Muhammad SAW menyebut “sekiranya kabur (tidak nampak anak bulan), maka hitunglah/hisablah bilangan dalam syaaban sebanyak tiga puluh (hari)”.

Maka dengan itu, ada sebilangan ulama seperti al-Imam Taqi al-Din al-Subki membenarkan penggunaanHisab Falaki atau kiraan falak sebagai wasail untuk mencapai maqasid (berpuasa di bulan Ramadhan dan penentuan hari raya). (al-Qaradawi, Al-Siyasah al-Syariiyyah fi Dau’ Nusus al-Syariah wa maqasiduha, hlmn 123)

Antara contoh lain dalam perkara ini juga adalah firman Allah SWT;

وَقَاتِلُوهُمْ حَتَّى لَا تَكُونَ فِتْنَةٌ

“Dan perangilah mereka itu, sehingga tidak ada fitnah lagi”(Surah al-Baqarah, ayat 193)

Berperang itu merupakan wasail, sedangkan maqasid dalam ayat ini adalah mengelak dari berlaku fitnah. Dengan maksud, dalam beberapa keadaan, tempat dan masa, berperang itu sendiri boleh mendatangkan fitnah.

TIADA NAS;

Ada beberapa keadaan, sesuatu wasail itu tidak termaktub dalam nas, tetapi maqasidnya termaktub dalam nas. Apabila wasail itu tidak termaktub dalam nas, maka ia terserah kepada manusia itu memanfaatkan akalnya untuk berijtihad.

Antara  contoh perkara ini adalah seperti maqasid bagi Fiqh Jinayah adalah mendidik umat dari melakukan jenayah, menghilangkan dendam pada diri pada diri mangsa jenayah dan mencegah penjenayah dari mengulangi jenayah. (Ibnu Asyur,  Maqasid al-Syariah al-Islamiyyah, halaman 516-517)

Namun begitu, dalam beberapa kesalahan tidak termaktub dibawah hudud, makanya ia terserah kepada pemimpin Negara untuk menetapkan hukuman dibawah hukuman ta’zir, sedangkan ta’zir itu tertakluk kepadaijtihad pemerintah[2].

KESIMPULAN

Dalam fiqh politik, al-Qaradawi menyatakan bahawa  maqasidnya adalah memberi kemaslahatan kepada rakyat. (al-Siyasah al-Syariyyah, hlmn 29)

القيام على شيء بما يصلحه

Sebarang keputusan kerajaan, hendaklah memberi kemaslahatan kepada rakyat. Sekiranya mencapai sebaliknya, tindakan kerajaan itu bercanggah dengan kehendak politik dalam Islam. Ini berdasarkan kepada kaedah fiqh yang  menyatakan segala pengurusan pemerintah tertakluk dengan memberi kemaslahatan. (al-Asybah wa al-Nazair, hlmn 220[3])

تَصَرُّفُ الْإِمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالْمَصْلَحَةِ

Malahan, pemimpin (atau : parti yang memerintah) yang gagal melakukan keadilan kepada rakyat. Dengan maksud, gagal memberi kemaslahatan kepada rakyat, pemimpin itu wajib ditukar dengan pemimpin yang adil. ini kerana, keadilan adalah syarat pada semua kepimpinan (wilayah). (al-Izz bin Abd al-Salam, Qawaid al-Ahkam Fi Masalih al-Anam, jld 2, hlmn 159)

العدالة شرط في كل الولاية

Juga, sekiranya seseorang pemimpin (atau : parti) itu sudah mampu memberi kemaslahatan kepada rakyat, tetapi disana terdapat pemimpin (atau : parti) yang lebih ada kemampuan dan kelayakan memberi keadilan dan kemaslahatan kepada rakyat, maka digalakan (ulang : digalakkan) untuk menukar pemimpin (atau : parti) terbabit dalam pemerintahan.  Ini dibandingkan dengan keperluan mendahulukan faqih berbanding qari untuk dilantik menjadi imam dalam solat, kerana faqih itu lebih mengetahui tentang rukun-rukun dan perkara yang membatalkan solat berbanding qari. (al-Qarafi, al-Zakhirah, jld 2, hlmn 256)

فعلى هذه القاعدة قدم الفقيه على القارئ لأنه أعلم بإقامة أركانها و درئ مفسدتها

Semua ini berasaskan kepada kaedah mendahulukan kemaslahatan umum berbanding kemaslahatan khusus. (al-Qarafi, al-Zakhirah, jld 2, hlmn 256 dan jld 13, hlmn 234)

يجب ضبط المصالح العامة , و لا تنضبط إلا بتعظيم الأئمة في نفوس الرعية , و متي اختلف عليهم أهينوا تعذرت المصلحة

Jika Maqasid bagi politik adalah memberi keadilan dan kemaslahatan kepada rakyat, sedangkan wasailnya pelbagai. Di Malaysia, wasail politik itu antaranya menggunakaan demokrasi, berpilihanraya dan sebagainya. Semuanya bertujuan untuk mencapai tujuan (baca : maqasid politik), iaitu memberi kemaslahatan kepada rakyat.

BAB KEDUA : PERUBAHAN DALAM POLITIK

Secara fitrahnya, manusia itu akan berubah kepada kebaikan. Dalam era kapitalis menguasai ekonomi dunia, rupa paras bagi kapitalis telah berlaku ‘tajdid’ dengan lahir teori baru bernama ordo-liberalisme; teori yang mengawal beberapa barang-barang keperluan rakyat ekoran menolak monopoli yang merusakan rakyat, walhal secara dasarnya kapitalis itu mengamalkan ‘free market’.

Perkara yang sama berlaku pada negara yang mengamalkan sosialis. Walaupun dasar mereka adalah kawalan terhadap semua ekonomi rakyat, tetapi di China, sudah ada beberapa wilayah mereka telah diberikan kuasa autonomi dalam mengurus ekonomi mereka.

Secara tidak langsung, kecairan terhadap fikrah ekonomi itu sudah berlaku. Kerana, masing-masing mahu merebut sokongan  rakyat agar mereka ditolak.

POLITIK DI KOTA ATHEN

Perubahan ini bukan sekadar berlaku pada fikrah ekonomi, malahan berlaku pada fikrah politik.  Jika dilihat dalam sejarah Yunani, sebelum Athens mengenal demokrasi[4],bentuk negara kota Athens ialah monarki dan kemudian bertukar kepada oligarki.

Setelah kegagalan dalam pemerintahan monarki, lahir pula pemerintahan bersama-sama yang disebut sebagai ‘Oligarki[5]‘ Ternyata pemerintahan sebegini kacau bilau, menyebabkan seorang negarawan bijak dari Kota Athen ketika itu bernama Solon meletakkan dasar-dasar demokrasi. Antaranya adalah para petadi dibebaskan dari segala hutang, juga orang Yunani yang dijadikan hamba perlu diberikan hak kemerdekaan kepada mereka. Sejak dari itu, orang Athen dilarang dari mengambil orang sebangsa mereka untuk dijadikan hamba.

Dengan perubahan sistem Athen yang dilakukan perubahan oleh Solon ternyata mendapat tentangan dari golongan bangsawan yang mempertahankan sistem Oligarki, namun dihadapi beliau dengan berani dengan segala kebijaksanaan yang ada. Ekoran itu, usaha Solon tidak dikatakan sebagai kejayaan pembinaan demokrasi mutlak, tetapi sebagai kejayaan ‘memecahkan budaya dan dogma’ ke arah kejayaan pembinaan demokrasi.

Kejayaan demokrasi di Kota Athen adalah di era pemerintahan Cleisthenes. Beliau telah kembangkan apa yang telah dilakukan oleh Solon. Di era beliau, diperluaskan hak-hak warganegara kepada pedagang, pengusaha dan petani.

Namun begitu, di era Cleisthenes, menduduki jabatan penting dalam pemerintahannya tetap dari kalangan bangsawan dan orang kaya. Wanita dan hamba masih tetap tersisih tanpa memiliki sebarang hak demokrasi.Kejayaan memberikan hak demokrasi itu secara melata berlaku pada era Pericles yang membawa kempen rasa cinta dan bangsa dari seluruh warganegara terhadap negaranya.
POLITIK DALAM SEJARAH UMAT ISLAM

Dalam kerangka Islam itu sendiri, di era pemerintahan Nabi SAW sehingga era Khalifah yang bentuk, didapati cara perlantikan seseorang khalifah itu tidak sama.

Melihat kepada perkembangan semasa, cara perlantikan Abu Bakar al-Siddiq dengan keputusan baiaah di Saqifah Bani Sa’adah yang melibatkan orang-orang besar di kalangan muhajirin dan ansar yang kemudiannya dibaiah oleh seluruh umat islam ketika itu. (al-Imamah al-Uzma ‘Ind Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah, halaman 146)

Perubahan suasana politik di era selepas itu, menyebabkan cara perlantikan Umar adalah dengan dilantik secara terus oleh Abu Bakar al-Siddiq atau diistilah sebagai istikhlaf. Iaitu, semasa Abu Bakar sakit yang hampir kepada kewafatan, beliau telah bertanya pandangan beberapa orang sahabat, seperti Usman bin Affan dan Abd al-Rahman bin Auf, Said bin Zaid dan Abu Al-‘Awar dan Usaid bin al-Hudair dan sebilangan sahabat dari kalangan ansar dan muhajirin dalam mencadangkan khalifah. Setelah mereka bersetuju dengan pilihan cadangan Abu Bakar untuk memilih Umar, lalu ditulis satu surat rasmi dan diberitahu kepada rakyat untuk dibaiah. (al-Imamah al-Uzma ind Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah, halaman 150-151)

Suasana politik di era selepas itu ternyata agak panas sedikit ekoran pembunuhan terhadap Khalifah Umar disamping islam sudah sampai ke benua selain arab, menyebabkan perlantikan Osman dengan pilihan terhadap seorang dari enam orang calon-calon khalifah yang dicalonkan oleh Umar. Mereka adalah Ali, Usman, al-Zubair, Talhah, Saad dan Abd al-Rahman. Selepas kewafatan Umar, berlaku permilihan pula antara enam orang tersebut sehingga yang berbaki adalah dua orang sahaja; Ali dan Usman. Ekoran itu, Abd al-Rahman bin Auf terus mempamerkan kedua-dua nama ini kepada ketua-ketua kabilah dan seluruh umat Islam untuk dipilih. Proses itu mengambil masa selama tiga hari tiga malam. Keputusannya berbelah pihak kepada Usman bin Affan. (lihat al-Bukhari dalam bab kelebihan sahabat dan bab bagaimana hendak baiah imam)

Mengulas perkara ini, Imam Ahmad menyatakan bahawa tidak berlaku satu kesepakatan dalam baiah seseorang sepertimana sepakatnya baiah terhadap Usman. (Minhaj al-Sunnah, jld 3, halaman 166)

لم يجتمعوا على بيعة أحد كما اجتمعوا علي بيعة عثمان

Dalam perlantikan Ali pula, lebih sukar berbanding yang lain, kerana ia ekoran kekecamukan politik yang dahsyat yang melibatkan pembunuhan terhadap Usman bin Affan. Dipermulaannya, Ali mengelak dari menerima jawatan, tetapi apabila diminta juga, maka Ali menyatakan bahawa dia akan ke masjid dan terpulang kepada siapa sahaja mahu membaiah beliau. (Tarikh al-Tabari, jilid 4, hlmn 434-435)

Selepas era pemerintahan khalifah, peperangan saudara amat dahsyat, disamping bimbang dengan serangan dari musuh luar, menjadikan pemerintahan di kalangan umat islam itu bertukar pula kepada sistem pemerintahan monarki yang dicetuskan oleh Muawiyah yang dimulai dengan dinasti Umawiyyah. Kemudian disambung dengan dinasti Abbasiah dan berakhir dengan dinasti Osmaniyyah.

Dalam hadis dinyatakan bahawa Nabi SAW pernah berkata bahawa khilafah selepas Nabi SAW adalah selama tiga puluh tahun, kemudian beraja. (al-Mukjam al-Kabir, Hadis no : 6329)

الْخِلافَةُ بَعْدِي فِي أُمَّتِي ثَلاثُونَ سَنَةً , ثُمَّ مُلْكٌ

Begitujuga dalam kitab Ibnu Athir dinyatakan bahawa Ketika Saad bin Abi Waqas berjumpa dengan muawiyyah sejurus ditabalkan sebagai khalifah, bahawa Saad berkata kepada Muawiyyah, “Assalamualaikum wahai raja”.Lalu, Muawiyyah ketawa dan berkata, “Apa salahnya sekiranya kamu berkata : Wahai Amirul Mukminin?”Saad menjawab, “Demi Allah, aku sungguh-sungguh tidak ingin memperoleh jabatan itu dengan cara yang telah menyebabkan anda memperolehinya” (Ibn Athir, al-Kamil fi al-Tarikh, jld 2, hlmn 109)

ولما استقر الأمر لمعاوية دخل عليه سعد بن أبي وقاص فقال: السلام عليك أيها الملك! فضحك معاوية وقال: ما كان عليك يا أبا إسحاق لو قلت: يا أمير المؤمنين؟ فقال: أتقولها جذلان ضاحكاً؟ والله ما أحب أني وليتها بما وليتها به!
MUTAGHAYYIRAT DALAM POLITIK

Jika kita perhatikan kepada keadaan ini, kita akan faham bahawa  kerangka politik itu tidak bersifat ‘sawabit’ sebaliknya bersifat ‘al-Mutaghayirat’. Makanya perubahan kerangka politik itu tetap akan berlaku.

Melihat keadaan itu, tidak hairan di awal kejatuhan Osmaniyyah turki, demokrasi dipamerkan sebagai terlarang. Ini kerana, umat Islam di kala itu sedang berhadapan dengan hegemoni sekularisme. Namun, dengan kajian-kajian yang disulami  dengan ijtihad-ijtihad baru ternyata tidak semua kandungan demokrasi itu sekular, malahan sifat demokrasi itu sendiri berubah-berubah sehinggakan eleman islam amat sinonim dalam perkara dasar bagi demokrasi.

Makanya tidak hairan, ulama-ulama Islam sudah mula mengeluarkan pandangan berdasarkan ijtihad-ijtihad mereka tentang keterlibatan umat Islam (baca : gerakan Islam) untuk terlibat dengan demokrasi, seperti ijtihad yang dikemukakan oleh Al-Maududi[6], al-Turabi[7], Ghanoushi[8], al-Qaradawi[9], Syaikh Muhammad al-Ghazali[10] dan seumpamanya.

  Image result for ghannouchi

Ternyata, ijtihad-ijtihad tersebut yang asalnya dilihat janggal di era itu, tetapi sudah diterima ramai pada era ini, malahan ia dianggap satu keperluan dalam melaksanakan tugasan politik yang dikehendaki oleh Islam.

FIQH TAWAQQU’ DALAM POLITIK

Perubahan mesti berlaku berdasarkan kepada kehendak rakyat. Sebagai rakyat, mereka lebih mengetahui kemaslahatan mereka, sedangkan pemerintah itu sebagai pihak yang pelaksana amanah yang digajikan oleh rakyat untuk mengurus kemasalahatan mereka.

Makanya, sebagai parti yang membawa suara umat Islam, tidak dapat tidak perlu mempunyai futuristik dalam menjayakan agenda islam untuk dilaksanakan kepada rakyat. Dalam islam itu sendiri, terdapat satu perbincangan yang disebut sebagai fiqh tawaqqu’, atau satu kefahaman mendalam dalam membuat ramalan dan membentuk suasana di masa hadapan.

Asal fikrah Fiqh Tawaqqu’ adalah berasal dari fikrah Maalat al-Af’al. Dalam al-Muwafaqat, al-Imam al-Syatibi menyatakan Maalat al-Af’al adalah melihat kepada implikasi terhadap sesuatu tindakan.

Antara dalil-dalil bersumber dari nas dalam menyatakan bahawa wujudnya Fiqh Maalat al-‘Af’al ini adalah seperti berikut;

Pertama:

Dari sudut hukum asal, memaki sembahan-sembahan selain Allah adalah dibenarkan. Namun begitu, dibimbangi ia memberi implikasi yang buruk disebalik memaki sembahan-sembahan itu, iaitu menerima makian balas terhadap Allah SWT dari mereka dengan prejudis, maka perkara itu diharamkan oleh Allah SWT. Firman Allah, “Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, karena mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan” (Surah al-‘An’am, ayat 108)

وَلَا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ فَيَسُبُّوا اللَّهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ

Kedua;

Dalam hadis ada dinyatakan bahawa Nabi Muhammad SAW melarang seseorang memaki ibu bapa temannya. Larangan itu kerana melihat kepada implikasi yang bakal diterima, iaitu seperti memaki ibu bapanya sendiri. Ia disandarkan kepada satu hadis, daripada Abdullah bin Amr berkata bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda, “Sebahagian dari dosa besar itu adalah seseorang itu memaki kedua ibu bapanya”. Nabi Muhammad SAW ditanya, “Bagaimana mungkin wujud orang yang memaki kedua ibu bapanya?”. Berkata Nabi Muhammad SAW, “Seseorang memaki bapa seseorang yang lain, lalu dia memaki balik bapanya dan memaki balik ibunya”. (al-Bukhari, Hadis no : 5516)

إِنَّ مِنْ أَكْبَرِ الْكَبَائِرِ أَنْ يَلْعَنَ الرَّجُلُ وَالِدَيْهِ قِيلَ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَكَيْفَ يَلْعَنُ الرَّجُلُ وَالِدَيْهِ قَالَ يَسُبُّ الرَّجُلُ أَبَا الرَّجُلِ فَيَسُبُّ أَبَاهُ وَيَسُبُّ أُمَّهُ

Ketiga;

Daripada Aisyah R.Ha, sesungguhnya Nabi Muhammad SAW ada berkata kepadanya;

“Apakah kamu tidak melihat sesungguhnya kaum kamu ketika mereka membina kaabah, mereka membataskan pada qawaed Ibrahim”. Aku (Aisyah) bertanya, “Wahai Rasulullah SAW, kenapa tidak kamu kembalikannya pada qawaed Ibrahim?”. Nabi Muhammad SAW menjawab, “kalaulah tidak kerana baru kaum kamu meninggalkan kekufuran, pasti aku sudah lakukan” (al-Bukhari, hadis no : 1480)

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَهَا أَلَمْ تَرَيْ أَنَّ قَوْمَكِ لَمَّا بَنَوْا الْكَعْبَةَ اقْتَصَرُوا عَنْ قَوَاعِدِ إِبْرَاهِيمَ فَقُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَلَا تَرُدُّهَا عَلَى قَوَاعِدِ إِبْرَاهِيمَ قَالَ لَوْلَا حِدْثَانُ قَوْمِكِ بِالْكُفْرِ لَفَعَلْتُ

Jika diperhatikan kepada jawapan Nabi Muhammad SAW, kita dapati bahawa Baginda tidak terus meruntuhkan kaabah dan membaiki kedudukan balik Kaabah pada tapaknya yang sebenar, kerana bimbang melahirkan implikasi yang lebih buruk, iaitu pandangan arab bahawa Nabi Muhammad SAW mengajar kepada mereka meruntuhkan tempat-tempat suci ini.

Keempat;

Dari Anas bin Malik, bahawa seorang badwi telah kencing dalam masjid. Sebilangan sahabat bangkit (untuk menghalang badwi itu berkencing). Lalu Nabi Muhammad SAW bersabda, “Jangan kamu halang dia kencing”. Kemudian Nabi Muhammad SAW menyuruh mendatangkan satu baldi air, dan baginda SAW sendiri yang tuangkan air itu pada tempat kencing badwi tadi. (al-Bukhari, hadis no : 5566)

أَنَّ أَعْرَابِيًّا بَالَ فِي الْمَسْجِدِ فَقَامُوا إِلَيْهِ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تُزْرِمُوهُ ثُمَّ دَعَا بِدَلْوٍ مِنْ مَاءٍ فَصُبَّ عَلَيْهِ

Nabi SAW melarang para sahabat dari menghalang Badwi itu kencing kerana, jika menghalang ketika badwi itu sedang kencing akan mendatangkan implikasi yang lebih besar buruknya, iaitu tempat yang kena air kencing dalam masjid itu akan menjadi lebih besar. Juga, mungkin apabila menghalang, menyebabkan badwi itu lari. Ketika itu, implikasinya lebih buruk, iaitu air kencingnya akan kena pada pakaian dan badannya.

Dari fikrah itu, ternyata fiqh itu semakin berlaku tajdid dan pembaharuan. Makanya lahir berbagai-bagai teori fiqh yang dapat difahami dalam kerangka kehidupan tanpa menafikan faktor nas-nas syariah.

Fiqh Tawaqu’ atau diterjemah sebagai fiqh futuristik adalah kesan dari perbincangan tentang teori Maalat al-Af’al atau implikasi terhadap sesuatu. Ia rentetan dari perbincangan tentang teori Sad al-Zaraie yang dikemukakan oleh Imam Malik (al-Syatibi, al-I’tisam, jilid 1, hlmn 281), juga teori Fath al-Zaraie yang dikemukakan oleh Imam al-Qarafi (al-Furuq, jilid 3, halaman 46)

Fiqh futuristik ini satu perbincangan tentang kefahaman yang mendalam dalam memastikan sesuatu yang bakal berlaku. Makanya, dari sekarang dilakukan beberapa tindakan supaya kemaslahatan lebih tercapai untuk masa mendatang berbanding kemudharatan, atau sekiranya diandaikan tercapai kemudharatan, dilakukan beberapa tindakan mengurangkan kemudharatan yang bakal berlaku.

Ada sebilangan ilmuan menolak teori Fiqh Tawaqu’ ini dengan alasan bahawa mengandai sesuatu yang bakal terjadi adalah satu perkara yang tertolak. Mereka berdalilkan dengan perkataan Umar bin al-Khattab di atas mimbar pada suatu hari. Iaitu, Umar menyatakan bahawa orang yang bertanya perkara yang bakal berlaku adalah orang yang meminta bala itu disegerakan berlaku. Makanya ia wajar dibuang. (‘Ilam al-Muwaqqiin, halaman 91)

قال عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ وَهُوَ عَلَى الْمِنْبَرِ : أُحَرِّجُ بِاَللَّهِ عَلَى كُلِّ امْرِئٍ سَأَلَ عَنْ شَيْءٍ لَمْ يَكُنْ ، فَإِنَّ اللَّهَ قَدْ بَيَّنَ مَا هُوَ كَائِنٌ

Dijawab pendapat ini dengan satu kisah perbualan antara seorang sahabat bernama qatadah bersama Imam Abu Hanifah. Iaitu, Abu Hanifah bertanyakan perkara yang cukup susah dan ia belum berlaku. Soalan itu menyebabkan Qatadah memarahi Abu Hanifah, kerana bimbang mengundang bala.Namun begitu, Imam Abu Hanifah menyatakan bahawa soalan tersebut adalah sebagai cara untuk kita bersedia untuk berhadapan dengan bala yang bakal menimpa. Jika diketahui, maka kita sudah untuk masuk atau keluar dari bala tersebut. (Tarikh Baghdad, jld 6, hlmn 106 )

عن النضر بن محمد قال: دخل قتادة الكوفة ونزل في دار أبي بردة فخرج يوما وقد اجتمع إليه خلق كثير فقال: قتادة والله الذي لا إله إلا هو ما يسألني اليوم أحد عن الحلال والحرام إلا أجبته فقام إليه أبو حنيفة فقال: يا أبا الخطاب ما تقول في رجل غاب عن أهله أعواماً فظنت امرأته أن زوجها مات فتزوجت ثم رجع زوجها الأول ما تقول في صداقها وقال لأصحابه الذين اجتمعوا إليه لئن حدث بحديث ليكذبن ولئن قال: برأي نفسه ليخطئن فقال: قتادة ويحك أوقعت هذه المسألة قال: لا قال: فلم تسألني عما لم يقع قال: أبو حنيفة إنا نستعد للبلاء قبل نزوله فإذا ما وقع عرفنا الدخول فيه والخروج منه

Ia dikukuhkan lagi dengan beberapa keputusan Nabi SAW, seperti dalam sejarah Sulh al-Hudaibiyyah. Ini kerana, perjanjian yang dilihat berat sebelah itu dengan berani diterima oleh Nabi SAW kerana menjangkakan kemaslahatan yang lebih besar bakal dikecapi dari pihak umat Islam. Ternyata, keberanian Nabi SAW menerima perjanjian tersebut mendatangkan keuntungan yang cukup gemilang  dari pihak Islam.

SYARAT-SYARAT

Secara asasnya, sesuatu ramalan ini diterima dalam syariah berdasarkan syarat-syaratnya. Jika dipenuhi syarat, maka ia adalah Fiqh Tawaqu’, tetapi ia tidak mencukupi syarat, maka ia tidak boleh disebut sebagai fiqh tawaqqu’.

Antara syarat-syaratnya adalah seperti berikut:

Pertama;

Ia mesti berdasarkan kepada ghalabah al-zan, iaitu sangkaan yang menguasai. Dengan maksud, sesuatu sangkaan itu mempunyai bukti penyokong.

Ini sepertimana firman Allah yang menyatakan bagi orang yang berpoligami, jika mereka bimbang bahawa mereka tidak boleh berlaku adil, maka hendaklah mereka berkahwin seorang sahaja. (Surah al-Nisa’, ayat 3)

فَانْكِحُوا مَا طَابَ لَكُمْ مِنَ النِّسَاءِ مَثْنَى وَثُلَاثَ وَرُبَاعَ فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تَعْدِلُوا فَوَاحِدَةً

Jika ikut kepada realitinya, kita tidak tahu apakah kita boleh berlaku adil atau tidak, jika kita tidak berpoligami terlebih dahulu. Namun Quran menyatakan jika bimbang dari berlaku, maka hendaklah kahwin satu sahaja. Menunjukkan, ia tertakluk kepada sangkaan yang mendominasi dalam diri orang yang berpoligami tersebut.

Kedua;

Ia perlu melihat kepada qarinah yang TELAH dan SEDANG berlaku, disamping qarinah itu mempunyai kaitan dengan keadaan yang BAKAL berlaku. Semua ini perlu kepada analisa. Ia dilihat pada perjanjian Hudaibiyyah yang dibuat oleh Nabi SAW. Semasa Nabi SAW menerima perjanjian, Nabi SAW sudah melihat suasana ketika itu, dan kaitannya yang bakal mendapat keuntungan di pihak umat Islam di masa akan datang.

Ketiga;

Hendaklah diimbang perkara ini berdasarkan kepada maslahah dan mafsadah. Iaitu, dengan disenaraikan andaian-andaian yang berbentuk keuntungan yang bakal berlaku. Juga diisenaraikan andaian-andaian tentang kerosakan-kerosakan yang bakal berlaku. Lalu, dianalisa untuk memilih tindakan yang boleh mengurangkan kerosakan, jika disana didapati akan berlaku kerosakan. Atau memilih kemaslahatan yang besar, jika disana dapat menghapuskan kemaslahatan tersebut.

Ini dilihat kepada tindakan Nabi SAW yang menerima untuk tidak menulis ‘bismillah al-Rahman al-Rahim’ dan ‘Muhammad Rasulullah’ dalam perjanjian hudaibiah pada tahun ke 6 hijrah, kerana melihat kemaslahatan yang lebih besar, iaitu umat Islam bukan sekadar boleh menunaikan ibadat Umrah qadha’ pada tahun ke 7 hijrah, tetapi berjaya mengambil alih kerajaan Makkah pada tahun 8 hijrah.

Keempat :

Apabila sudah mendapati sesuatu itu bakal mencapai mafsadah atau kerosakan, maka disediakan ‘ubat’ bagi mengelak dari berlaku kerosakan tersebut. Ia seperti dalam analisa perlaksanaan hudud, didapati bahawa kerosakan yang bakal berlaku adalah penolakan ekoran dari tidak memahami. Makanya disediakan ‘ubat’ bagi menyelesaikan perkara ini dengan mengadakan kempen berbentuk keilmuan dan sebagainya. Atau misal lain, seperti seseorang doktor itu merasakan bahawa seorang pesakit itu mempunyai tanda-tanda ketika itu bahawa dia bakal ditimpa penyakit kusta, maka disediakan ubat-ubat pencegahan dari tertimpa penyakit tersebut.

Ini dapat dilihat dengan tindakan Nabi SAW menyuruh para sahabat membawa segala makanan dan duit ketika hendak menunaikan umrah qadha’ pada tahun ke 7 hijrah (perjanjian hudaibiah pada 6 hijrah) untuk diberikan kebajikan kepada rakyat Makkah yang miskin dan berhutang ketika mereka melakukan ibadat. Tindakan itu, menyebabkan Islam menjadi buah mulut dikalangan rakyat makkah yang mendatangkan gelombang rakyat pada tahun selanjutnya, iaitu dalam sejarah Fath al-Makkah.

Kelima :

Ia mesti adalah plan perancangan yang bersifat‘tadarruj’ atau bertahap-tahap. Dengan ertikata lain, ia memerlukan beberapa perkara berikut;

[1] perancangan yang mempunyai jangka masa.

[2] Perancangan yang mempunyi penyelidikan, dan

[3] Mempunyai plan dalam menentukan tahap- tahap, sehingga perlaksaaan islam secara syumul terbukti berjaya.

‘Sunnah al-Tadarruj’ ini bukanlah satu perkara yang disifatkan sebagai rekaan semata-mata, sebaliknya ia mempunyai sandaran. Iaitu, dilihat penurunan Al-Quran itu sendiri bertahap-tahap, disamping melihat kepada marhalah dakwah Nabi Muhammad SAW yang bertahap-tahap. Di Marhalah Makkiyyah, ia memakan masa selama 13 tahun, sehingga ia digelar sebagai Marhalah Tarbiyyah atau didikan dan pengukuhan.

Amalan ini juga, dilakukan oleh seorang khalifah islam yang adil, iaitu Umar bin Abd al-Aziz. Ketika anak beliau bernama Abd al-Malik bertanya kepadanya tentang banyak perkara yang beliau tidak laksanakan saat sudah berkuasa, Umar bin Abdul Aziz menjawab dengan katanya;

لا تعجل يا بني، فإن الله ذم الخمر في القرآن مرتين، وحرمها في الثالثة، وإنى أخاف أن أحمل الحق على الناس جملة، فيدفعوه جملة، ويكون من ذا فتنة

 “Jangan kamu gopoh wahai anakku, Sesungguhnya Allah cela arak dalam Al-Quran sebanyak dua kali dan mengharamkannya pada kali ketiga. Sesungguhnya Aku bimbang melaksanakan kebenaran terhadap manusia secara total, lalu mereka menolaknya secara total. Sudah pasti, ia merupakan fitnah”. (al-Syatibi, al-Muwafaqat, jld 2, hlmn 148)

KESIMPULAN

Teori ini memang agak baru dibincangkan dalam dunia umat Islam, tetapi ia tidak salah dari sudut pengamalannya. Ini kerana, diteliti pada nas-nas dan sirah, didapati ia sudah diamalkan.

Teori ini amat penting dibincangkan dan diamalkan bagi mereka yang terlibat dengan ilmu kedoktoran, business dan sebagainya. ia amat penting dibincarakan dalam kerangka politik masa depan.

______________________________________________

Wan Ji Wan Hussin merupakan pengasas Sekolah Pemikiran Asy-Syatibi

______________________________________________

[1] Menurut Huraian al-Ghazali, maslahah itu adalah menarik manfaat dan menolak sebarang mudhat, iaitu dari sudut maqasid al-Khalq atau maqasid makhluk. Adapun maqasid dari sudut syari’ atau pembuat syariat adalah untuk menjaga lima perkara asas bagi maqasid kulliyyah, iaitu Agama, nyawa, keturunan, nyawa dan harta (lihat al-Mustasfa, jilid 1, halaman 258, dan Dr Jamal al-Din Atiyyah, Nahw Taf’il Maqasid al-Syariah, hlmn 138)

[2] Kaedah ada menyebut, “urusan pemerintah terhadap rakyat tertakluk dengan maslahah”. Menurut al-Qaradhawi, kaedah ini telah disepakati dikalangan para imam syariah. lihat al-Siyasah al-Syariiyyah fi Dau’ Nusus al-syariah wa maqasiduha , halaman 117.

[3] هَذِهِ الْقَاعِدَةُ نَصَّ عَلَيْهَا الشَّافِعِيُّ وَقَالَ ” مَنْزِلَةَ الْإِمَامِ مِنْ الرَّعِيَّةِ مَنْزِلَة الْوَلِيِّ مِنْ الْيَتِيمِ ” .

قُلْت : وَأَصْلُ ذَلِكَ : مَا أَخْرَجَهُ سَعِيدُ بْنُ مَنْصُورٍ فِي سُنَنِهِ .

قَالَ حَدَّثَنَا أَبُو الْأَحْوَصِ عَنْ أَبِي إِسْحَاقَ ، عَنْ الْبَرَاءِ بْنِ عَازِبٍ قَالَ : قَالَ عُمَرُ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ ” إنِّي أَنْزَلْتُ نَفْسِي مِنْ مَالِ اللَّهِ بِمَنْزِلَةِ وَالِي الْيَتِيمِ ، إنْ احْتَجْتُ أَخَذْتُ مِنْهُ فَإِذَا أَيْسَرْتُ رَدَدْتُهُ فَإِنْ اسْتَغْنَيْتُ اسْتَعْفَفْتُ

[4] Monarki berasal dari kalimah ‘monos’ bermaksud satu, dan kalimah ‘arkgein’ bermaksud memerintah

[5] Dalam bahasa yunani, olargi berasal dari kalimah ‘oligai’ yang bermaksud beberapa.

[6] Beliau mencadangkan demokrasi bentuk baru atas istilah “teo-demokrasi”. Ia disokong kuat oleh Dr Muhammad Imarah.

[7] Tulisannya berkait dengan demokrasi adalah “al-Syura wa al-Dimokratiyyah”.

[8] Tulisannya berkait dengan demokrasi adalah “al-Hurriyyah al-Ammah fi al-Daulah al-Islamiyyah”.

[9] Tulisannya berkait dengan demokrasi boleh dibaca dalam  “Fiqh al-Daulah” dan “Fatawa Muasarah”

[10] Tulisannya berkait dengan demokrasi adalah “al-Islam wa al-Dimokratiyyah”

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*