POLITIK DALAM KERANGKA UMAT ISLAM (II)

14 September 2015  oleh Wan Ji Wan Hussin

BAB KETIGA : POLITIK SAINGAN

Di era ini, PAS tidak sekadar berhadapan dengan lawan tradisinya, UMNO. Tetapi, PAS berkawan dengan PKR dan DAP dalam berusaha hendak melakukan gerakan merampas tampuk pemerintahan dari Putrajaya, disamping melaksanakan agenda politik yang dicita-citakan.

Melihat keadaan ini, budaya politik berasaskan saingan amat penting. Ia bertujuan, PAS lebih diterima berbanding parti kawan-kawannya, PKR dan DAP.  Secara fitrahnya, apabila wujud saingan secara sihat, ia akan mengakibatkan kesan baik, iaitu kreatif, inovasi dan kualiti. Apabila PAS bersaing, sudah pasti PAS akan berinovasi dalam mempamerkan penerimaan rakyat terhadap mereka.

Bagi mempamerkan saingan sihat ini, dicadangkan beberapa perkara, iaitu;

CADANGAN SATU : PEMILIHAN NEO – IBN AFFAN

Kala ini, sesiapa yang dilihat lebih demokrasi, mereka akan diterima oleh rakyat. Gerakan Islam seluruh dunia sudah melihat perkara ini amat penting. Makanya tidak hairan bahawa dahulu gerakan Islam bercakap tentang hudud, tetapi kini gerakan Islam bercakap tentang demokrasi.

Di Mesir, Ikhwan yang masuk pilihanraya juga mendaftarkan parti mereka dengan menggunakan nama ‘Hizb al-Hurriyyah wa al-Adalah’ atau parti kebebasan dan keadilan. Keadaan yang sama berlaku di Tunisia yang meletakkan kepentingan demokrasi di awal pemerintahan gerakan Islam al-Nahdhah.

Semua pendekatan-pendekatan parti islam ini mempamerkan demokrasi. Ini kerana, sifat asasi bagi demokrasi adalah kebersamaan antara pemerintah dan rakyat.

RAKYAT DIHARGAI

Apabila disebut sebagai demokrasi, ia berkaitan rapat dengan kebebasan, tidak paksaan, memilih dengan rela hati tanpa diikat dengan hukum keagamaan dan kenegaraan.

Apabila keadaan ini berlaku, sudah pasti setiap parti yang bertanding perlu bersaing secara sihat. Ketika itu, setiap parti akan mempamerkan mereka lebih baik berbanding parti lain, disamping tawaran yang mereka berikan kepada rakyat yang bakal mengundi mereka.

Tawaran yang penting juga diberikan oleh bagi sesebuah gerakan islam adalah bahawa mereka perlu dilihat lebih demokrasi berbanding orang lain.

Dalam hal ini, dicadangkan kepada PR mengamalkan perkara ini. Bagi jawatan MB, ia tidak sekadar dipilih dalam mesyuarat Pakatan Rakyat atau dalam mesyuarat parti-parti tertentu, sebaliknya pihak parti-parti  sekadar mencalonkan beberapa nama dari adun-adun yang menang untuk dipilih oleh rakyat.

Ringkasannya adalah seperti berikut;

PARTI YANG MENDOMINASI

Bagi sesebuah negeri yang didominasi oleh sesebuah parti seperti PAS di Kelantan dan DAP di Pulau pinang, bahawa mereka mencalonkan beberapa nama untuk jawatan Menteri Besar atau Ketua Menteri. Kemudian calon-calon ini dibentangkan kepada rakyat untuk dipilih dalam pilihanraya yang dikelolakan parti yang memerintah.
TIADA DOMINASI

Bagi negeri yang tidak didominasi oleh mana-mana parti, tetapi semua pihak mendapat kemenangan yang sama-sama banyak, maka setiap parti perlu mencalonkan nama-nama ADUN yang menang untuk dibentangkan kepada rakyat untuk dipilih oleh mereka sebagai MB atau Ketua Menteri.

Pengamalan ini disandarkan cara perlantikan yang dicadangkan oleh Umar bin al-Khattab bagi perlantikan Usman bin Affan.  Iaitu, perlantikan Osman dengan pilihan terhadap seorang dari enam orang calon-calon khalifah yang dicalonkan oleh Umar. Mereka adalah Ali, Usman, al-Zubair, Talhah, Saad dan Abd al-Rahman. Selepas kewafatan Umar, berlaku permilihan pula antara enam orang tersebut sehingga yang berbaki adalah dua orang sahaja; Ali dan Usman. Ekoran itu, Abd al-Rahman bin Auf terus mempamerkan kedua-dua nama ini kepada ketua-ketua kabilah dan seluruh umat Islam untuk dipilih. Proses itu mengambil masa selama tiga hari tiga malam. Keputusannya berbelah pihak kepada Usman bin Affan. (lihat al-Bukhari dalam bab kelebihan sahabat dan bab bagaimana hendak baiah imam)

Mengulas perkara ini, Imam Ahmad menyatakan bahawa tidak berlaku satu kesepakatan dalam baiah seseorang sepertimana sepakatnya baiah terhadap Usman. (Minhaj al-Sunnah, jilid 3, halaman 166)

لم يجتمعوا على بيعة أحد كما اجتمعوا علي بيعة عثمان
KEBAIKANNNYA

Setiap perkara baik itu, tidak semestinya baiknya sehingga tidak ada keburukannya. Begitujuga setiap perkara yang buruk, ia tidak semestinya tidak ada kebaikannya langsung. Namun, apabila sesuatu perkara itu mempunyai kebaikan yang banyak berbanding keburukkannya, maka ia adalah perkara yang perlu disokong. Namun, jika sesuatu itu ada keburukkan yang lebih banyak berbanding kebaikan, maka ia adalah wajar ditolak.

Cadangan ini, dilihat kebaikkannya adalah seperti berikut;
1- Berjaya kurangkan ketidak-puasan hati.

Memang kita tidak akan mampu memuaskan hati semua manusia. Tetapi, kemampuan yang ada pada kita adalah mengurangkan ketidak-puasan hati manusia. Makanya, kita perlu ada mekanisma untuk melakukan perkara ini.
2- Memberi peluang kepada ahli parti musuh untuk mengundi calon MB dari parti kita.

Pepatah melayu ada sebut, “belum try, belum tau”. Ia seperti Orang yang tidak pernah makan nasi kerabu, lalu makan, mereka mula berminat dengan nasi kerabu.

Serupajuga mereka tidak pernah mengundi PAS, lalu bila mereka mengundi, kita memberi satu kesan psikologi pada mereka untuk merasa tidak janggal untuk undi PAS dalam Pilihanraya umum mendatang.
3- Kita berjaya pamerkan kepada rakyat bahawa kita terlalu demokrasi berbanding parti-parti kawan dan parti-parti lawan.

Rata-rata non muslim menganggap bahawa  PAS sebuah parti yang tidak demokrasi, ekoran itu agak takut untuk memilih PAS. Minda ini semakin terhakis dengan keterbukaan PAS dalam menerima keahlian bukan Islam yang tidak pernah dibuat oleh UMNO.

 

CADANGAN DUA : DARI POLITIK HUKUM KEPADA POLITIK EKONOMI

Dalam “Maqasid Hizf Al-Mal” [penjagaan harta], perkara yang ditekankan adalah dua perkara besar, iaitu At-Taawun (saling tolong menolong) dan Ar-Rifqah (kasih sayang)

Ia terkandung pada firman Allah yang menyatakan bantu membantu dalam melakukan kebaikan dan ketaqwaan, dan jangan tolong menolong dalam melakukan dosa. (Surah al-Maidah, ayat 2)

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

Nabi Muhammad SAW pernah menyatakan orang yang penyayang itu disayangi Allah dan makhluk di dunia dan di langit. (abu Daud, Hadis no : 4290)

الرَّاحِمُونَ يَرْحَمُهُمْ الرَّحْمَنُ ارْحَمُوا أَهْلَ الْأَرْضِ يَرْحَمْكُمْ مَنْ فِي السَّمَاءِ

Asas dua tujuan inilah, kita dapati pemerintahan Umar bin Abdul Aziz merupakan pemerintahan yang dipuji zaman berzaman. Di zaman itu diceritakan sukar untuk mendapati orang-orang yang layak menerima zakat, sehingga gabenor dari Azarbaijan telah menghantar surat kepada Khalifah Umar melaporkan kesukaran untuk berjumpa dengan rakyat yang layak menerima zakat.

Surat tersebut dibalas oleh Khalifah. Dalam surat terbabit, Khalifah Umar bin Abdul Aziz telah mengarahkan agar dicari anak muda yang ingin berkahwin, lalu diberikan kepada mereka wang zakat untuk meringankan beban mereka untuk berkahwin.

Kejayaan pemerintahan Umar bin Abdul Aziz, bukan kejayaan melahirkan orang-orang kaya, tetapi pemerintahan itu berjaya melahirkan masyarakat yang mempunyai dua unsur ini (taawun dan rifqah). Dengan dua unsur ini, rakyat tidak sanggup menjadi golongan yang meminta, tetapi mereka mahu menjadi golongan yang memberi; menjadi tangan diatas berbanding tangan dibawah. Makanya mereka bekerja untuk menjadi masyarakat yang bekerja.

Dengan dua unsur ini, mereka menjadi masyarakat yang berdikari. Makanya mereka bersaing secara positif, sehingga lahirnya inovasi yang kejayaan ini dikecapi oleh pihak kerajaan sendiri.

Pemerintahan itu terjadi kerana model dan tauladan itu ditunjukkan sendiri oleh Umar bin Abdul Aziz dalam pemerintahan beliau. Bagaimana tindakan Umar bin Abdul Aziz yang membedakan antara pelita kerajaan dan pelita peribadi, tidak mengambil kesempatan kekayaan ketika memerintah, beliau menyekat kepentingan anak beranak dan kroni dari berkuasa dalam kerajaan dan banyak lagi.

NEGARA KEBAJIKAN – PERKEMBANGAN ISLAM

Jika diperhatikan kepada sirah, kita akan dapati perkembangan Islam itu mula bertapak di Madinah dan Makkah, bermulanya dengan faktor kebajikan. Ulasannya adalah seperti berikut;

MADINAH

Rakyat madinah sedang berhadapan dengan dilema perang saudara; iaitu melibatkan antara Aus dan Khazraj. Peperangan yang berlanjutan ratusan tahun [ada riwayat kata 400 tahun, dan ada riwayat lain pula kata 140 tahun], menyebabkan rakyat Madinah sudah muak dengan keadaan yang berlaku. Keadaan ini menyebabkan rakyat mahukan alternatif.

Apabila As’ad bin Zurarah sebagai ketua kabilah Khazraj ketika itu telah ke Makkah untuk meminta bantuan kewangan dan ketenteraan dari kerajaan makkah dalam misi menyerang Kabilah Aus, ternyata hatinya terbuka untuk menerima Islam sebagai agama pegangan hidup, apabila terlihat sebatang tubuh yang bernama Muhammad SAW, dan mendengar ulasan nabi SAW dari firman Allah dari surah Al-An’am ayat 151 dan 152 sejurus melakukan tawaf Wida’ di Kaabah, iaitu setelah ‘frust’ tidak dapat bantuan dari Makkah menerusi lidah wakilnya yang bernama ‘Utbah bin Rabi’ah.

Firman Allah dari Surah Al-‘An’am itu adalah;

قُلْ تَعَالَوْا أَتْلُ مَا حَرَّمَ رَبُّكُمْ عَلَيْكُمْ أَلَّا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا وَلَا تَقْتُلُوا أَوْلَادَكُمْ مِنْ إِمْلَاقٍ نَحْنُ نَرْزُقُكُمْ وَإِيَّاهُمْ وَلَا تَقْرَبُوا الْفَوَاحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ وَلَا تَقْتُلُوا النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ ذَلِكُمْ وَصَّاكُمْ بِهِ لَعَلَّكُمْ تَعْقِلُونَ * وَلَا تَقْرَبُوا مَالَ الْيَتِيمِ إِلَّا بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ حَتَّى يَبْلُغَ أَشُدَّهُ وَأَوْفُوا الْكَيْلَ وَالْمِيزَانَ بِالْقِسْطِ لَا نُكَلِّفُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا وَإِذَا قُلْتُمْ فَاعْدِلُوا وَلَوْ كَانَ ذَا قُرْبَى وَبِعَهْدِ اللَّهِ أَوْفُوا ذَلِكُمْ وَصَّاكُمْ بِهِ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ

Maksudnya;

“Katakanlah: “Marilah kubacakan apa yang diharamkan atas kamu oleh Tuhanmu yaitu: janganlah kamu mempersekutukan sesuatu dengan Dia, berbuat baiklah terhadap kedua orang ibu bapa, dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu karena takut kemiskinan, Kami akan memberi rezki kepadamu dan kepada mereka, dan janganlah kamu mendekati perbuatan-perbuatan yang keji, baik yang nampak di antaranya maupun yang tersembunyi, dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan sesuatu (sebab) yang benar.” Demikian itu yang diperintahkan kepadamu supaya kamu memahami(nya) * Dan janganlah kamu dekati harta anak yatim, kecuali dengan cara yang lebih bermanfaat, hingga sampai ia dewasa. Dan sempurnakanlah takaran dan timbangan dengan adil. Kami tidak memikulkan beban kepada sesorang melainkan sekedar kesanggupannya. Dan apabila kamu berkata, maka hendaklah kamu berlaku adil, kendatipun ia adalah kerabat(mu), dan penuhilah janji Allah. Yang demikian itu diperintahkan Allah kepadamu agar kamu ingat” [Al-An’am : 151-152]

Ucapan syahadah terus terpancul dari lidah As’ad bin Zurarah sejurus mendengar firman Allah ini, menandakan keislaman beliau. Ungkapan sastera yang maha indah disamping ajaran kehidupan menerusi Firman Allah SWT itu, ternyata melunakkan hatinya, malahan memujuk-mujuk dirinya agar mencadangkan kepada Nabi SAW supaya ke yasrib untuk menyelesaikan perbalahan antara Aus dan Khazraj dengan ajaran yang maha indah ini.

Nabi SAW menolak untuk hadir ke Yasrib pada tahun itu, tetapi bersedia ke sana di masa akan datang. Ternyata Nabi SAW dan para sahabat dari warganegara Makkah telah bertolak ke yasrib dalam peristiwa sejarah hijrah yang cukup bermakna, sehinggakan nama Yasrib yang dikenali, sudah berubah kepada Madinah Al-Munawwarah yang dicintai.

Dengan pulangnya As’ad ke Yasrib pada tahun itu, menyebabkan 12 orang telah memeluk islam. 12 orang ini telah mengadakan pertemuan bersama dengan Nabi SAW di musim haji dalam sejarah Perjanjian Aqabah, seterusnya berlaku pula perjanjian aqabah yang kedua yang sudah mencecah ratusan orang, lantaran terbukti penerimaan terhadap ajaran Nabi SAW itu amat memberansangkan. Ia tidak lain dan tidak bukan, kerana rakyat Yasrib sudah benci dengan kekacauan dalam negara, sehinggakan kehadiran ajaran islam yang membawa kehidupan ini mudah diterima.

FATH AL MAKKAH

Jika kita merenung jauh kepada kejayaan Nabi SAW membawa Islam dalam sejarah Sulh Al-Hudaibiyyah, kita akan mendapati betapa bijaknya Nabi SAW dalam berpolitik.

Dalam sirah, kita dapati Nabi SAW banyak ’mengalah’ ketika melakukan perjanjian Al-Hudaibiyyah, tetapi ternyata ’mengalah awal’ bukan bermakna kalah, sebaliknya ia merupakan kemenangan yang nyata selepas dari itu.

Ia sama seperti yang kita lihat dalam filem tamil dan hindi, sehingga ada orang melayu tua-tua dulu sering berkata, ”hero tamil memang kalah dulu”.

Pada tahun kedua selepas berlaku Sulh Al-Hudaibiyyah, baru Nabi SAW dan para sahabat dibenarkan oleh Quraish untuk melakukan ibadat di Kaabah. Dalam tahun kedua itulah, berlakulah sejarah Umrah Al-Qada’ [Umrah Al-Qada’ ini dikenali juga dengan nama Umrah Qadiyyah, Umrah Qishash dan Umrah Sulh], tetapi keizinan menunaikan ibadat itu hanya selama 3 hari sahaja.

Namun begitu, dalam jangka terlalu pendek, Nabi SAW berjaya membina imej yang cukup baik di mata-mata rakyat makkah terhadap umat Islam yang ditarbiah oleh Nabi SAW.

Bermula dari kesetiaan terhadap perjanjian, yang bersuaian dengan sabda Nabi SAW;

الْمُسْلِمُونَ عِنْدَ شُرُوطِهِمْ

Maksudnya;

”Orang Islam itu disisi syarat-syarat [perjanjian] mereka [Abu Daud : 3120]

Juga, banyak tindakan yang membawa imej baik dilakukan oleh Nabi SAW dan para sahabat, seperti mengerjakan solat dan menghilangkan sama sekali sikap meninggi diri, mana yang kuat akan membimbang yang lemah, mana yang kaya akan membantu yang miskin.

Rasulullah SAW sendiri dilihat seperti seorang bapa, yang mencintai dan dicintai. Baginda SAW dilihat sebagai seorang yang agak senang diajak ketawa dan bergurau, tanpa menafikan kebenaran ajaran Islam.

Keadaan ini berlanjutan, menjadi tontonan rakyat Makkah yang belum lagi beragama Islam. Mereka melihat keindahan suasana tersebut; seperti tidak ada minuman keras, tidak melakukan amalan maksiat, tidak mudah tergoda dengan makanan dan minuman dan mereka cukup tidak mudah terpedaya dengan pengaruh duniawi.

Lebih memberi kesan kepada jiwa rakyat Makkah yang tidak beragama islam lagi, apabila para sahabat yang hadir ke Makkah untuk menunaikan Umrah Al-Qada’ itu, dilihat cukup lunak dalam memberi pertolongan kepada orang-orang miskin dan para hamba yang tinggal di Makkah. Waima mereka tidak beragama Islam, tetapi bantuan dari para sahabat hulurkan kepada mereka, seperti sanggup himpun duit untuk membayar hutang bagi mereka yang berhutang dan sebagainya, cukup memberi kesan kepada jiwa rakyat Makkah secara menyeluruh.

Dengan imej baik inilah, menyebabkan nabi SAW dan para sahabat diterima oleh rakyat Makkah. Waima tindakan Nabi SAW itu dibenci oleh pimpinan Quraish yang kufur, tetapi kejayaan Nabi SAW menarik pengaruh dikalangan rakyat Makkah tidak boleh dinafikan lagi.

Ekoran itu, Nabi SAW berjaya mencipta satu gelombang rakyat yang cukup hebat; sehingga tidak dapat dinafikan lagi oleh pimpinan Makkah, iaitu apabila majoriti rakyat makkah sendiri telah menerima Nabi SAW dalam sejarah Fath Makkah [pembukaan kota Makkah].

NEGARA BERKEBAJIKAN DALAM AYAT 151-152 SURAH AL-AN’AM

Firman Allah;

قُلْ تَعَالَوْا أَتْلُ مَا حَرَّمَ رَبُّكُمْ عَلَيْكُمْ أَلَّا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا وَلَا تَقْتُلُوا أَوْلَادَكُمْ مِنْ إِمْلَاقٍ نَحْنُ نَرْزُقُكُمْ وَإِيَّاهُمْ وَلَا تَقْرَبُوا الْفَوَاحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ وَلَا تَقْتُلُوا النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ ذَلِكُمْ وَصَّاكُمْ بِهِ لَعَلَّكُمْ تَعْقِلُونَ * وَلَا تَقْرَبُوا مَالَ الْيَتِيمِ إِلَّا بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ حَتَّى يَبْلُغَ أَشُدَّهُ وَأَوْفُوا الْكَيْلَ وَالْمِيزَانَ بِالْقِسْطِ لَا نُكَلِّفُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا وَإِذَا قُلْتُمْ فَاعْدِلُوا وَلَوْ كَانَ ذَا قُرْبَى وَبِعَهْدِ اللَّهِ أَوْفُوا ذَلِكُمْ وَصَّاكُمْ بِهِ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ

Maksudnya;

“Katakanlah: “Marilah kubacakan apa yang diharamkan atas kamu oleh Tuhanmu yaitu: janganlah kamu mempersekutukan sesuatu dengan Dia, berbuat baiklah terhadap kedua orang ibu bapa, dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu karena takut kemiskinan, Kami akan memberi rezki kepadamu dan kepada mereka, dan janganlah kamu mendekati perbuatan-perbuatan yang keji, baik yang nampak di antaranya maupun yang tersembunyi, dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan sesuatu (sebab) yang benar.” Demikian itu yang diperintahkan kepadamu supaya kamu memahami(nya) * Dan janganlah kamu dekati harta anak yatim, kecuali dengan cara yang lebih bermanfaat, hingga sampai ia dewasa. Dan sempurnakanlah takaran dan timbangan dengan adil. Kami tidak memikulkan beban kepada sesorang melainkan sekedar kesanggupannya. Dan apabila kamu berkata, maka hendaklah kamu berlaku adil, kendatipun ia adalah kerabat(mu), dan penuhilah janji Allah. Yang demikian itu diperintahkan Allah kepadamu agar kamu ingat” [Al-An’am : 151-152]

Dari ayat ini, Allah SWT menyenaraikan kandungan berkebajikan anjuran Islam itu seperti berikut;

1- Tidak syirik kepada Allah [tonggak pemerintahan berasaskan kepada aqidah];

2- Buat baik kepada ibu bapa [akhlak];

3- Tidak bunuh anak kerana bimbang kepapaan [menyediakan bantuan kewangan kepada ibu bapa yang baru melahirkan anak, menyediakan pendidikan percuma kepada pelajar yang tidak berkemampuan dll]

4- Tidak melakukan perkara dosa secara nyata dan tertutup [didikan akhlak berbentuk tauladan terhadap rakyat];

5- Tidak membunuh orang sesuka hati [member jaminan keselamatan rakyat];

6- Tidak mengkhianati harta anak-anak yatim [amanah dan akauntabiliti dalam pemerintahan];

7- Tidak tipu dalam timbangan [transparansi]

8- Adil dalam pemerintahan;

9- Menunaikan perintah-perintah Allah SWT.

Dari kesembilan perkara yang termaktub menerusi ayat ke 151 dan 152 dari surah Al-An’am ini, ia dirangkumkan kepada perkara berikut;

1- Pemerintahan yang berpaksikan kepada ketaatan kepada Allah SWT;

2- Pemerintahan yang mempunyai kepimpinan yang berakhlak tinggi;

3- Pemerintahan yang beramanah; bertugas memberi kebahagiaan dan kesenangan hidup kepada rakyat, bukan pemerintah berniaga dengan rakyat;

4- Pemerintahan yang mempunyai cirri-ciri transparansi, akauntabiliti, adil dan telus sehingga diyakini rakyat;

5- Kerajaan yang menjamin keselamatan rakyat.

BAB KEEMPAT : POLITIK AKAUNTIBILITI DAN KREDIBLITI

Menurut al-Qaradawi, keadilan itu adalah memberikan hak kepada yang berhak[11]. Maksud keadilan menurut al-Qaradawi ini berdasarkan kepada sabda Nabi SAW yang menyatakan bahawa Allah SWT memberikan hak kepada yang berhak. (Abu Daud, hadis no : 2486)

عَنْ شُرَحْبِيلَ بْنِ مُسْلِمٍ سَمِعْتُ أَبَا أُمَامَةَ

سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّ اللَّهَ قَدْ أَعْطَى كُلَّ ذِي حَقٍّ حَقَّهُ

Apabila disebut hak, Islam membahagikan hak itu kepada dua, iaitu hak Allah (huquq Allah), dan hak hamba (hak hamba).

Perlu diketahui bahawa Islam tidak memandangkan unsure pertalian antara manusia dengan Allah sahaja, malahan disana terdapat satu unsure yang disebut sebagai pertalian manusia sesame manusia. Dalam awal surah al-Baqarah, disamping Allah SWT menyatakan cirri-ciri orang bertaqwa itu adalah beriman dengan perkara ghaib, dikemukakan juga tentang huquq Allah dan Huquq al-‘Ibad. Makanya, dinyatakan bahawa kepentingan mendirikan solat, lalu disebut juga menginfaqkan harta. (Surah al-Baqarah, ayat 2)

الَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِالْغَيْبِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنْفِقُونَ

Apabila dinyatakan mendirikan solat, ia adalah penunaian oleh hamba terhadap hak Allah, sedangkan dinyatakan infaq dan sedekah, melibatkan penunaian oleh hamba terhadap hak sesame mereka.

Maksud dengan hak-hak Allah adalah, perkara yang dilakukan oleh hamba untuk  Allah dengan tujuan untuk taqarrub (menghampirkan diri) dan Ta’zim (untuk mengagungkan) Allah. Ia dilakukan dengan meninggikan syiar-syiar agamaNya atau memastikan manfaat umum itu dikecapi oleh semua manusia tanpa di khususkan pada manusia tertentu.

هو ما قصد به التقرب إلى الله وتعظيمه وإقامة شعائر دينه، أو تحقيق النفع العام لجميع الناس من غير اختصاص أحد

Adapun makna bagi hak-hak hamba adalah; apa yang perlu dilakukan oleh hamba untuk memastilah tercapai kemaslahatan khusus terhadap individu, seperti mengganti balik barang yang dirosakan dan ganti barang yang dirompak.

وهو ما قصد به تحقيق مصلحة خاصة بالفرد، كبدل المتلفات وبدل المغصوب

Secara prinsip, hak Allah terbina atas toleransi, tasamuh dan kemudahan[12]. (Fiqh Islami wa adillatuh, jld 3, hlmn 401), Sedangkan hak-hak hamba terbina atas kesempitan. Makanya, hak-hak hamba perlu didahulukan berbanding hak-hak Allah SWT. (Dr Jamaluddin ‘Atiyyah, Nahw Taf’il Maqasid al-Syariah, halaman 35)

حق الأدمي مرجح علي حقوق الله , لأنه مبني علة الشح و المضايقة , وحقوق الله تعالى مبنية على المسامحة و المساهلة

Antara contoh-contoh perkara ini adalah seperti berikut;

Satu : qasar solat

Allah SWT menyatakan dalam al-Quran bahawa ketika bermusafir, dibenarkan untuk mengqasarkan solat. (Surah al-Nisa’, ayat 101)

وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِي الْأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَنْ تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلَاةِ

Solat qasar ini, bukan sekadar berlaku dalam keadaan perang, malahan dibenarkan juga dalam keadaan aman. Perkara ini ditegaskan oleh Umar bahawa beliau sendiri mendengar bahawa Rasulullah SAW menyatakan bahawa qasar solat itu merupakan sedekah yang Allah berikan, maka selayaknya sedekah itu diterima. (Sahih Muslim, hadis no : 1108)

عَنْ يَعْلَى بْنِ أُمَيَّةَ قَالَ

قُلْتُ لِعُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ

{ لَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَنْ تَقْصُرُوا مِنْ الصَّلَاةِ إِنْ خِفْتُمْ أَنْ يَفْتِنَكُمْ الَّذِينَ كَفَرُوا }

فَقَدْ أَمِنَ النَّاسُ فَقَالَ عَجِبْتُ مِمَّا عَجِبْتَ مِنْهُ فَسَأَلْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ ذَلِكَ فَقَالَ صَدَقَةٌ تَصَدَّقَ اللَّهُ بِهَا عَلَيْكُمْ فَاقْبَلُوا صَدَقَتَهُ

Dua : tidak berpuasa bagi yang sakit dan musafir

Al-Quran sendiri menyatakan bahawa bagi orang yang sakit atau berada dalam permusafiran, dibenarkan kepada mereka untuk tidak berpuasa dalam bulan Ramadan. (Surah al-Baqarah, ayat 184 dan 185)

فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ

Tiga : cara taubat.

Seseorang yang bertaubat dari dosa-dosanya antara dengan Allah SWT, hendaklah dia melakukan tiga perkara, iaitu, 1- meninggalkan kesalahan tersebut, 2- menyesal terhadapan kesalahan, dan 3- berazam tidak akan melakukan kesalahan terbabit.

Namun, sekiranya kesalahan itu sudah melibatkan kepada manusia lain, seperti penafian hak, atau kezaliman, maka hendaklah dia  memberi balik haknya. Jika dia melakukan tuduhan zina, maka hendaklah dia meminta maaf dari orang yang dituduh tersebut. Sekiranya berbentuk umpatan, maka hendaklah dia minta halal dan memohon maaf dari tuduhannya dalam umpatannya tersebut. (al-Fiqh al-Islami Wa adillatuh, jld 7, hlmn 468)

وإن كانت المعصية تتعلق بحق شخصي لإنسان، فشروطها أربعة وهي الثلاثة السابقة، ويضاف إليها الخروج من المظالم بأن يبرأ العاصي من حق صاحبها، فإن كانت المعصية أخذ مال أو نحوه بدون حق رده إليه، وإن كان الفعل قذفاً ونحوه مكن المقذوف منه أو طلب عفوه. وإن كان غيبة استحله منها وطلب مسامحته عن طعنه فيه في غيبته\

 

Empat :

Walaupun bagi orang yang mempunyai wang cukup untuk perjalanan untuk menunaikan ibadat haji, menjadikannya wajib pergi ke Makkah, tetapi memandangkan ia didapati berhutang, maka hendaklah wang tersebut didahulukan membayar hutang, berbanding digunakan untuk ibadat haji kecuali, jika dia meminta izin terlebih dahulu dari tuan hutang ataupun hutang itu berbentuk bertempoh pada tarikh tertentu dan dalam tanggapannya yang kuat bahawa dia boleh melunaskan hutang tersebut pada tarikh tersebut. (al-Izz bin Abd al-Salam, Qawaed al-Ahkam, jld 1, hlmn 41)

Perkara ini disandarkan kepada firman Allah SWT yang menyatakan bahawa haji itu dilakukan bagi mereka yang ada kemampuan ke sana. (Surah ali-imran, ayat 97)

وَلِلَّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا

Lima : imej agama didahulukan berbanding jaga agama

Secara fitrahnya, manusia akan menerima bahawa maslahah ramai perlu didahulukan berbanding masalah individu. Atau dalam erti kata yang lain, tidak boleh diabaikan maslahah orang ramai ekoran hendak menjaga maslahah golongan yang sedikit. Ekoran itu, ulama Hanafiyyah, setengah ulama dalam mazhab Maliki dan pandangan ulama muta’akhirin dalam mazhab Hanbali membenarkan penetapan harga jika tidak penetapan itu boleh membawa kepada monopoli, walhal dalam hadis didapati bahawa Nabi SAW tidak mahu menetapkan harga barang setelah diminta. (al-Tirmizi, Bab penetapan harga, hadis no : 1235)

 

Namun begitu, mengenangkan tidak mahu penafian hak orang ramai dengan monopoli yang diharamkan oleh Nabi Muhammad SAW , maka dibenarkan melakukan penetapan harga. (Muslim, bab pengharaman monopoli dalam pemakanan, hadis no : 3012)

Ekoran itu, Abu Walid al-Baji menyatakan bahawa penetapan harga dari pihak kerajaan ini adalah untuk menjaga kemaslahatan umum. Dengan maksud, tidak menetapkan harga itu akan mendatangkan kerosakan kepada rakyat umum. (Abu Walid al-Baji, al-Muntaqa Syarh al-Muwataa’, jld 3, hlmn 424)

Secara dasarnya, maslahah umum itu perlu diutamakan berbanding kemaslahatan individu. Lalu, jika mahu dilihat dalam penjagaan agama yang merupakan maqasid kulliyyah yang pertama, hak hamba perlu didahulukan berbanding hak Allah dalam urusan penjagaan agama. Dengan maksud, dalam kerangka penjagaan agama, iaitu antara menjaga aqidah individu yang murtad, dengan menjaga kemaslahatan agama dari sudut yang lebih luas, seperti kerosakan imej agama, maka menjaga imej agama itu perlu diutamakan.(Dr Ali Jumuah, al-Madkhal, hlmn 126 – 131; Dr Jamaluddin Atiyah, Nahw Taf’il Maqasid al-Syariah, hlmn 38)

HUQUQUL IBAD DAN POLITIK

Dalam politik, factor huququl ‘ibad ini amat penting. Ini kerana, politik adalah pengurusan terhadap urusan kemaslahatan manusia. Di samping kupasan tentang huquq al-‘Ibad perlu ditunaikan, tetapi ia juga merupakan pengawal dari berlaku  penyelewengan terhadap amanah rakyat.

Alas an-alasan perkara itu adalah seperti berikut;

 

Pertama : Abu Bakar perangi orang yang ingkar bayar zakat

Mengenangkan kepentingan terhadap menjaga amanah rakyat, tidak hairan Abu Bakar al-Siddiq boleh mengisytiharkan perang dan bunuh kepada golongan yang tidak membayar zakat di awal pemerintahan beliau. Ini kerana, zakat merupakan sumber Negara, makanya tidak membayar zakat seperti menafikan hak rakyat. (Dr Taha Jabir al-Alwani, tiada paksaan dalam agama (terjemahan), hlmn 144- 145)

Kedua : Konsep kebebasan

Hak kebebasan merupakan fitrah insani. Ekoran itu, hak kebebasan ini diberikan oleh Islam. Dalam kitab maqasid as-syariah al-islamiyyah karangan Ibnu Asyur, dinyatakan bahawa, kebebasan [al-hurriyyah] mempunyai dua maksud, iaitu; Pertama, tunduk kepada makhluk. dan kedua, manusia itu boleh melakukan apa sahaja yang dia mahu.

Menurut Ibnu Asyur, kedua-dua maksud ini merupakan kandungan syariah itu sendiri, kerana kedua-duanya terbit dari kehendak fitrah. bagi mengukuhkan pendapat ini, Ibnu asyur mengungkap perkataan Umar bin Al-Khattab yang pernah berkata, “kenapa kamu mengabdikan diri kepada manusia, walhal ibu kamu melahirkan kamu dalam keadaan merdeka [bebas]” (Maqasid As-Syariah Al-islamiyyah, hlmn 390 – 391)

Lebih menarik, apabila Ibnu Asyur menyatakan bahawa kandungan syarak itu sendiri membatalkan pengabdian [sesama makhluk] kepada menyebarkan kebebasan. Pun begitu, kebebasan yang ditawarkan oleh Islam itu tertakluk kepada penyusunan sistem. (Maqasid As-Syariah Al-Islamiyyah, hlmn 392)

 

Perkataan Ibnu asyur ini, selari dengan perkataan Friedrich August Von Hayek yang menyatakan kebebasan itu perlu diikat dengan tanggungjawab (liberalisme : esei-esei terpilih F.A Hayek, hlmn 69 – 90)

KEBEBASAN BUKAN LESEN BUAT ZALIM

Kita mengetahui bahawa Nabi Musa dibesarkan dalam rumah Firaun. Juga diketahui bahawa ketika itu Firaun sudah kufur. Namun, ketika itu tidak kita ketahui bahawa ada usaha melawan firaun yang dilancarkan oleh Musa, sebaliknya ia dilakukan setelah Nabi Musa berada bersama-sama dengan bapa mertuanya, Nabi Syuib.

Dalam mengulas perkara ini, Ibnu Asyur ada menyatakan, perlantikan Musa adalah untuk menyelamatkan Bani Israel dari kefasadan yang dilakukan oleh Firaun. difahami disini bahawa maksud kefasadan itu, bukan kekufuran, tetapi kefasadan berbentuk perbuatan yang dilakukan dibumi, kerana Bani Israel tidak mengikut firaun dari sudut kekufurannya” (Maqasid As-Syariah Al-Islamiyyah : 273)

وأن بعثة موسى كانت لإنقاذ بني إسرائيل من فساد فرعون , فعلمنا أن المراد من الفساد غير الكفر , وإنما هو فساد العمل في الأرض , لأن بني إسرائيل لم يتبعوا فرعون في كفره

.

Jelas, bahawa kebebasan dalam Islam bukan bermakna kebebasan itu dengan maksud boleh melakukan pengkhianatan kepada manusia lain, tetapi kebebasan dalam Islam adalah memberikan hak kebebasan disamping menyediakan sistem hidup yang mampu mengawal manusia dari terjebak kepada kezaliman dan kerosakan pada diri sendiri dan pada orang lain.

HUQUQ AL-IBAD DAN AKAUNTABILITI DAN KREDIBILITI

Era ini, orang lebih mempercayai pemerintah yang mempunyai akauntabiliti atau bertanggungjawab, kredibiliti dan transparansi. Dengan wujudnya perkara ini, sesebuah kerajaan akan dipercayai rakyat.

Akauntabiliti penting bagi memastikan tugas-tugas yang dilaksanakan mencapai objektif dan tujuan yang ditetapkan, disamping mengelak dari berlaku sebarang pembaziran. Disamping itu juga, transparensi juga amat penting, supaya ia melahirkan kredibiliti atau kepercayaan rakyat terhadap sesuatu pemerintahan.

Perkara ini amat penting dalam kerangka Negara yang mengamalkan demokrasi. Terutama penentuan sesebuah kerajaan itu kekal memerintah berdasarkan kepada undian rakyat. Kita tidak perlu banggakan jika kerajaan kita kekal memerintah, tetapi yang perlu dibanggakan apabila kerajaan kita berjaya dipercayai rakyat ekoran sikap kebertanggungjawaban yang telah kita amalkan.

Dalam islam, perkara ini amat penting dengan beberapa hujjah-hujjah berikut;

Pertama;

Sebelum perlantikan Nabi Muhammad SAW sebagai nabi, baginda SAW mempunyai kredibiliti yang cukup hebat, sehinggakan beliau dikenali sebagai “al-Amin”.

Kedua;

Pemberian sesuatu jawatan itu sesuai dengan orang yang berkelayakkan. Sepertimana yang Allah SWT nyatakan dalam surah al-Nisa’, ayat 58 bahawa Allah SWT menyuruh manusia itu memberikan amanah kepada mereka yang ahli, dan menyuruh melaksanakan amanah itu dengan adil. (Surah al-Nisa’, ayat 58)

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَى أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ أَنْ تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ

Ketiga:

Allah memuji Abdullah bin Salam yang ketika itu belum memeluk islam ekoran amanah yang dilakukan oleh beliau yang diberikan amanah oleh seorang lelaki quraish untuk menjaga wang sebanyak 1200 dinar. Apabila diminta balik, wang tersebut tersebut dihantar balik tanpa terlebih dan terkurang. (Surah ali Imran, ayat 75, al-Tafsir al-Kabir, jilid 4, 261)

وَمِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ مَنْ إِنْ تَأْمَنْهُ بِقِنْطَارٍ يُؤَدِّهِ إِلَيْكَ

Keempat;

Nabi Muhammad SAW mengakui keadilan yang dilakukan oleh Raja Habsyah, waima tidak beragama Islam. Ia sehinggakan Nabi SAW memberikan kepercayaan kepadanya sehingga meminta sebilangan sahabat yang ditindas berlindung dibawah pemerintahannya.

MANUSIA PERLU KAWALAN

Tidak dinafikan bahawa kucing kurang berminat dengan ikan hangus, tetapi tidak ada kepercayaan jika dibiarkan kucing itu bersendiri dengan ikan hangus bahawa kucing itu tidak makan ikan tersebut. Serupajuga dengan seseorang pemimpin yang baik, tidak semestinya pemerintahannya itu akan ada kredibiliti ekoran baiknya seseorang pemimpin itu.

Walaupun Nabi Muhammad SAW seorang yang amanah dan benar, tetapi Nabi Muhammad SAW juga sering dikawal oleh wahyu al-Quran. Penurunan surah abasa sebagai teguran Allah SWT terhadap baginda ekoran memasamkan muka kepada seorang sahabat buta bernama Abdullah bin Ummi al-Maktum merupakan bukti, dalam amanah dan benarnya Nabi SAW, ia juga perlu dikawal. (Surah Abasa, ayat 1 -2, Tafsir Ibn Kathir, jld 8, hlmn 319)

عَبَسَ وَتَوَلَّى * أَنْ جَاءَهُ الْأَعْمَى

Maka dengan itu, dalam pemerintahan juga perlu kepada kawalan ini, terutama melibatkan dengan dana dan kewangan Negara atau negeri. Ia tidak lain, supaya wujud apa yang diistilah sebagai sebagai akautabiliti dan kredibiliti. Kedua-dua ungkapan ini, tidak cukup sekadar ungkapan lidah, atau dialihbahasakan kepada bahasa arab, Jerman atau sebagainya, tetapi yang paling penting adalah pengamalannya.

Bagi menjayakan perkara ini, dicadangkan beberapa perkara begitu;

CADANGAN SATU : BADAN HISBAH

Bagi melahirkan akauntabiliti dan kredibiliti ini, dicadangkan satu badan yang disebut sebagai badan hisbah. Badan hisbah ini, dilihat dalam dua kerangka;

1-      Dari pemerintah kepada rakyat.

2-      Dari rakyat kepada pemerintah.

DARI PEMERINTAH KEPADA RAKYAT

Dari sudut pengamalan hisbah dalam kerangka ini, ia sudah banyak diamalkan dalam sesebuah negara atau negeri. Dirasakan tidak perlu perbincangan hisbah dari kerajaan terhadap rakyat ini dipanjangkan, kerana sudah ada majlis perbandaran, badan cegah mungkar, dan sebagainya melaksanakan perkara ini.

Namun, dari sudut pengamalan dari sudut sejarah, antaranya adalah seperti Rasulullah SAW pernah melantik Said bin al-‘As ibn ‘Umayyah untuk mengawasi kegiatan perniagaan di kota Mekah seleas berlakunya peristiwa pembukaan kota tersebut. Uthman bin al-‘As telah dilantik bertugas di Taif, sementara Saidina Umar bin al-Khattab telah diberikan kepercayaan menyelia urusan perniagaan di Madinah. Bahkan Rasulullah SAW sendiri pernah menugaskan perempuan, Samra’ binti Nahik al-Asadiah untuk menjalankan tugas ini. Diceritakan bahawa ketika itu, Samra’ bertugas dengan meronda di pasar dengan menggunakan sebatang tongkat. (Dr Auni bin Abdullah, Hisbah dan Pentadbiran Negara, hlmn 19)

DARI RAKYAT KEPADA PEMERINTAH

Di sini, dipaparkan beberapa bukti sejarah umat Islam dari sudut pengamalannya.

Pertama;

Abu Bakar al-Siddiq di awal perlantikan beliau sebagai khalifah, beliau ada menyampaikan ucapan sulungnya agar membetulkan beliau jika beliau melakukan sebarang kesalahan. (al-Bidayah wa al-Nihayah, jilid 5, halaman 269)

أما بعد أيها الناس فإني قد وليت عليكم ولست بخيركم، فإن أحسنت فأعينوني، وإن أسأت فقوموني

Kedua;

Umar bin al-Khattab mempunyai ketelitian dalam pemerintahan, terutama melibatkan kewangan kerajaan. Semasa beliau menjadi khalifah, beliau melantik Abu Hurairah sebagai amir di Bahrain. Dalam dasar pengamalan Umar, seseorang yang dilantik memegang sebarang jawatan dalam keadaan ada dua pasang pakaian, maka hendaklah dia mempunyai dua pasang pakaian juga ketika meninggalkan jawatan tersebut.

Semasa Abu Hurairah menjadi amir di Bahrain, beliau mempunyai dua ekor kuda. Lama kelamaan, kuda itu beranak pinak sehinggakan sebahagiannya dijual dan abu Hurairah menjadi kaya. Melihat kepada keadaan ini, Umar bin al-Khattab telah memanggal Abu Hurairah dan melakukan siasatan terhadap perkara ini. (Rijal Hawl al-Rasul (terjemahan), halaman 499,  al-Mustadrak ‘Ala Sahihain, hadis no : 3285)

عن أبي هريرة رضي الله عنه ، قال : قال لي عمر : يا عدو الله وعدو الإسلام خنت مال الله ، قال : قلت : لست عدو الله ، ولا عدو الإسلام ، ولكني عدو من عاداهما ، ولم أخن مال الله ، ولكنها أثمان إبلي ، وسهام اجتمعت . قال : فأعادها علي وأعدت عليه هذا الكلام ، قال : فغرمني اثني عشر ألفا ، قال : فقمت في صلاة الغداة ، فقلت : اللهم اغفر لأمير المؤمنين فلما كان بعد ذلك أرادني على العمل ، فأبيت عليه ، فقال : ولم وقد سأل يوسف العمل وكان خيرا منك ؟ فقلت : إن يوسف نبي ، ابن نبي ، ابن نبي ، ابن نبي ، وأنا ابن أميمة وأنا أخاف ثلاثا واثنتين قال : أولا تقول خمسا ؟ قلت : لا قال : فما هن ؟ قلت : « أخاف أن أقول بغير علم ، وأن أفتي بغير علم ، وأن يضرب ظهري ، وأن يشتم عرضي ، وأن يؤخذ مالي بالضرب »

Ketiga;

Umar al-Khattab pernah menghantar pegawai-pegawai kerajaan untuk mengajar agama dan sunnah nabi. Sekiranya pegawai-pegawai itu tidak menunaikan tugasan tersebut, Umar meminta pihak rakyat supaya memaklumkan kepada Umar dan beliau akan bertindak mengenakan hukuman kepada mereka. (Ibn Taimiah, al-Siyasah al-Syariyyah, halaman 150)

قال أبو فراس : خطب عمر بن الخطاب -رضي الله عنه- فذكر حديثاً قال فيه : ” لا إني والله ما أرسل عمالي إليكم ليضربوا أبشاركم ، ولا ليأخذوا أموالكم ، ولكن أرسلهم إليكم ليعلموكم دينكم وسنة نبيكم . فمن فعل به سوى ذلك : فليرفعه إلي . فوالذي نفسي بيده إذا لأقصنه منه

KESIMPULAN

Dalam kerangka negara demokrasi yang mengamalkan pilihanraya dalam penentuan pemerintahan sesebuah negeri atau negara, ia tertakluk dengan undian rakyat. Bagi mengekalkan undian rakyat, hendaklah mendapat kredibiliti dan akauntibiliti. Tidak dinafikan, boleh mengekalkan kemenangan sesebuah parti yang memerintah dengan menyorok atau melakukan penyelewengan dan penipuan, tetapi memandangkan Islam menyeru kepada keadilan dan menolak kezaliman, maka tidak dapat tidak, usaha mengekalkan kemenangan dengan menggunakan keadah hisbah ini amat berkesan.

CADANGAN DUA : PEMIMPIN NEGERI/NEGARA TIDAK DITAJA

Satu perkara yang cukup tidak sihat, apabila sesebuah pemerintahan itu dikawal oleh cukong-cukong dan pemodal-pemodal. Apabila budaya sponsor ini diamalkan, ia sedikit sebanyak akan memberi kesan terhadap keputusan melibatkan kerajaan.

Tidak dinafikan, mendapat sponsor bukanlah satu perkara yang salah dari sudut hukum asalnya. Tetapi, memandangkan ia boleh mempengaruhi keputusan kerajaan, terutama melibatkan kepentingan rakyat, perkara sebegini wajar dihapuskan.

Dari sudut pensejarahan, kita akan dapati adalah seperti berikut;

Pertama;

Nabi SAW dan ahli keluarga Nabi Muhammad SAW tidak menerima zakat. Perkara ini dinyatakan oleh Nabi SAW dalam satu hadis bahawa baginda dan ahli keluarga baginda SAW tidak boleh menerima zakat. (Muslim, hadis no : 1784)

إِنَّ الصَّدَقَةَ لَا تَنْبَغِي لِآلِ مُحَمَّدٍ إِنَّمَا هِيَ أَوْسَاخُ النَّاسِ

Kedua:

Dalam satu hadis Abu Hurairah ada menceritakan bahawa pernah cucunda Nabi SAW, iaitu Saidina Hasan termakan buah tamar hasil bayaran zakat. Mengetahui itu, Baginda SAW terus menyuruh Hasan mengeluarkan balik tamar terbabit. (Muslim, hadis no : 1778)

أَخَذَ الْحَسَنُ بْنُ عَلِيٍّ تَمْرَةً مِنْ تَمْرِ الصَّدَقَةِ فَجَعَلَهَا فِي فِيهِ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كِخْ كِخْ ارْمِ بِهَا أَمَا عَلِمْتَ أَنَّا لَا نَأْكُلُ الصَّدَقَةَ

Dalam mengupas tentang hadis ini, Imam al-Syaukani menyatakan bahawa larangan bagi keluarga Nabi SAW dari makan sedekah adalah untuk mengelak dari mereka akan ditohmah oleh orang musyrik. Makanya, ia sebagai cara Allah SWT hendak menutup dari sebarang tohmahan jahat tersebut. (al-Syaukani, Nail al-Awtar, jld 6, hlmn 478)

 

Ketiga :

Diceritakan Umar bin Abd al-Aziz terlalu kepingin untuk makan epal, namun di rumahnya tidak terdapat duit untuk membelinya. Lalu, apabila ada yang membawa buah epal untuk diberikan hadiah kepada beliau, tetapi beliau menolak. Apabila ditanya, mengapa dia menolak sedangkan Rasulullah SAW dan Abu Bakar al-Siddiq, Umar bin al-Khattab menerima hadiah. Mendengar itu, Umar bin Abdul Aziz menjawab bahawa ia adalah hadis bagi mereka, tetapi bagi pegawai selepas mereka adalah rasuah. (Fath al-Bari Syarh al-Bukhari, jld 8, hlmn 82)

اِشْتَهَى عُمَر بْن عَبْد الْعَزِيز التُّفَّاح فَلَمْ يَجِدْ فِي بَيْته شَيْئًا يَشْتَرِي بِهِ ، فَرَكِبْنَا مَعَهُ ، فَتَلَقَّاهُ غِلْمَان الدَّيْر بِأَطْبَاقِ تُفَّاح ، فَتَنَاوَلَ وَاحِدَة فَشَمَّهَا ثُمَّ رَدَّ الْأَطْبَاق ، فَقُلْت لَهُ فِي ذَلِكَ فَقَالَ : لَا حَاجَة لِي فِيهِ ، فَقُلْت : أَلَمْ يَكُنْ رَسُولُ اللَّه صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَبُو بَكْر وَعُمَر يَقْبَلُونَ الْهَدِيَّة ؟ فَقَالَ : إِنَّهَا لِأُولَئِكَ هَدِيَّة وَهِيَ لِلْعُمَّالِ بَعْدهمْ رِشْوَة

Dicadangkan kepada kerajaan bahawa meletakkan satu dasar bahawa pihak pemerintah bahawa tidak menerima sebarang hadiah atau sponsor dari mana-mana pihak, samaada berbentuk tajaan haji, umrah dan seumpamanya.

Dengan sikap sebegini, ia dapat mengelak dari berlaku sebarang kesempatan yang diraih oleh sebilangan pemodal, taw key, cukong dan sebagainya dari mempengaruhi kerajaan dalam sebarang keputusan, terutama dalam perkara yang melibatkan dengan dana rakyat.

PENUTUP

Ini adalah sebilangan cadangan-cadangan yang mahu dipamerkan kepada PAS dalam berhadapan dalam era parti moden. Lebih-lebih lagi, PAS dilihat (persepsi) sebagai sebuah parti yang amat sinonim dengan islam. Cadangan-cadangan ini, tidak semestinya diterima, tetapi perlu dinilai dan kaji selidik berdasarkan keperluan yang memberi kepentingan kepada rakyat itu sendiri.

Mudah-mudahan ia memberi kebaikan yang banyak kepada kita, juga kepada perjuangan dalam melaksanakan tugasan tuhan sebagai khalifah di atas muka bumi Allah SWT ini.

__________________________________________________

Wan Ji Wan Hussin merupakan pengasas Sekolah Pemikiran Asy-Syatibi

__________________________________________________

 

[11] http://www.qaradawi.net/2010-02-23-09-38-15/4/840.html

هذا في العدل السياسي، العدل السياسي هو أساس المُلك، المُلك لا يقوم ولا يعمّر، لاتعمّر الأرض ولا تعمّر الحياة ولا تطيب الحياة ولا يعيش الناس حياة آمنة مطمئنة إلاّ إذا توفَر العدل، ما معنى أن يتوافر العدل؟ أن يقوم كل إنسان بما يجب عليه، وأن يُعطى كل ذي حقٍ حقه، لعلَّ أقوى تعريف للعدل وأضبط تعريف للعدل هو إعطاء كل ذي حقٍ حقه

[12] Wahbah al-Zuhaili;

أما حقوق الله فمبنية على تسامح الكريم الغفور الرحيم.