PEMAKNAAN UNIVERSITI TERHADAP INTELEKTUALISME MAHASISWA

1 Januari 2016 oleh Ahmad Muziru Idham

PENDAHULUAN

Peradaban manusia menyaksikan bahawa universiti merupakan kampus pembudayaan ilmu yang telah melahirkan ramai tokoh-tokoh manusia yang menjadi ilmuwan dalam masyarakat. Peranannya sebagai sebuah institusi pendidikan pengajian tinggi menjadikan penuntutnya dimatangkan dengan pemberdayaan dan pengalaman mereka dalam dunia keilmuan lalu membentuk mereka sebagai sebuah insan yang berfikir dengan fikiran aras tinggi. Fikiran aras tinggi yang saya maksudkan ialah pemikiran yang lebih merenungi realiti kemasyarakatan dengan melihat bahawa mereka adalah sebuah peranan yang mencorakkan masyarakat sebagai sebuah sistem komuniti yang baik dan kuat. Mereka terbentuk untuk menjadi intelektual seperti mana yang digariskan oleh Syed Hussein Alatas dalam bukunya, Intelektual Masyarakat Membangun bahawa kewujudan mereka adalah mampu untuk (i) Mengenalpasti Masalah; (ii) Memahami masalah; (iii) Menganalisis masalah; dan (iv) Menyelesaikan masalah[1]. Sekalipun ciri-ciri intelektual yang digariskan oleh Alatas itu tidak tertakluk kepada pendidikan universiti semata-mata, tetapi kelahiran mahasiswa sebagai graduan universiti adalah individu-individu yang dilihat menjadi harapan dalam masyarakat untuk membawa pelbagai perubahan positif dan mengeluarkan masyarakat daripada kejahilan sama ada dalam bentuk fizikal ataupun mental.

Wajar untuk ditinjau bahawa universiti merupakan tempat pemaknaan diri mahasiswa kerana di sinilah sistem pendidikan yang meletakkan nilai-nilai hidup dalam diri mahasiswa sebagai seorang insan. Sebab itu kebebasan universiti sebagai sebuah kampus keilmuan adalah amat penting untuk ditekankan agar pemberdayaan universiti tersebut tidak melalui campur tangan kekuasaan politik yang hanya sekadar untuk mendoktrinisasi pemikiran mahasiswa dengan doktrin-doktrin politik mendokong aspirasi kerajaan. Kemunduran nilai universiti akan segera dapat dilihat apabila kekuasaan politik (the power of politics) yang melibatkan kepentingan penguasa adalah mengatasi kekuasaan ilmu (the power of knowledge) yang sepatutnya diletakkan pada tahap yang lebih tinggi kerana universiti itu berdiri sebagai sebuah gedung keilmuan, bukannya sarang politik. Sebab itu jika dilihat dalam tradisi keilmuan, apabila kepengaruhan ahli politik di kampus universiti lebih dihormati daripada ahli-ahli akademik sehingga menjadikan fungsi mereka semakin mengecil di kawasan sendiri, maka itulah petanda kepada keruntuhan ketamadunan ilmu dan permulaan kepada kerosakan nilai dan integriti dalam sistem kenegaraan.

universitiMalah jika dilihat dalam sejarah keilmuan Islam, seorang imam besar dalam mazhab Maliki iaitu Imam Malik r.a. adalah seseorang yang sangat tegas dalam penghormatan terhadap ilmu sehingga sesiapa sahaja yang datang lewat sekalipun seorang pemerintah negara yang hadir ke kuliahnya maka dia harus berada di barisan belakang dan duduk untuk mendengarnya mengajar tanpa sebarang keistimewaan layanan dan tempat. Malah beliau sangat mementingkan integriti ilmu dan menganggap bahawa seorang murid yang harus mencari gurunya, bukan gurunya yang mencari murid walaupun ianya adalah seorang penguasa negara.

Oleh sebab itu, tulisan ini akan membuat sorotan ringkas dalam pemaknaan universiti terhadap intelektualisme mahasiswa dengan meninjau kepada hak kebebasan mahasiswa dalam kampus universiti. Seterusnya, saya akan melihat bagaimana hubungan mahasiswa dan intelektualisme itu wujud sebagai sebuah hubungan yang berdiri atas nilai-nilai keilmuan. Akhir sekali, saya akan cuba membincangkan bagaimana perubahan dalam gerakan mahasiswa itu harus wujud sebagai sebuah gerakan intelektualisme dengan menyorot sedikit sejarah gerakan aktivisme mahasiswa sekitar era 60 an hingga 80 an.

DILEMA KEBEBASAN MAHASISWA DALAM KAMPUS UNIVERSITI

 Persoalan hak kebebasan mahasiswa dalam kampus universiti adalah persoalan yang kontroversional untuk dibincangkan pada hari ini. Sebenarnya ianya adalah sebuah persoalan yang penting dan tidak sepatutnya menjadi suatu kekecohan untuk dibincangkan kerana ianya adalah suatu perkara yang telah dijamin keabsahannya terhadap mahasiswa dengan menurut lunas-lunas keilmuan. Tetapi dalam dekad ini bermula pada era kemunculan AUKU (Akta Universiti dan Kolej Universiti) apabila kekuasaan politik telah mula campur tangan ke dalam pentadbiran universiti justeru persoalan kebebasan mahasiswa telah menjadi suatu persoalan yang “berbahaya” untuk dibincangkan secara terbuka seolah-olah hak kebebasan itu telah bertukar menjadi sebuah jenayah yang mengancam kemasyarakatan. Apabila autonomi universiti telah mula mengalami campur tangan oleh autonomi kekuasaan, kedudukan hak pentadbiran universiti sebagai sebuah institusi bebas telah mula tersekat dan perlu menuruti kekuasaan memerintah dan dosa yang paling besar berlaku dalam sejarah pendidikan negara ialah apabila silibus-silibus pendidikan telah dicorakkan oleh masyarakat politik (political society) atau kelayakan orang yang menyediakan silibus ditentukan daripada aspirasi pemerintah itu sendiri.

Saya tidak memaksudkan bahawa kebebasan itu adalah sesuatu yang tidak dibataskan. Kebebasan tetap perlu dibataskan pada kadar sesebuah situasi yang boleh membawa kepada kekacauan awam yang menimbulkan suasana yang tidak tenteram kepada masyarakat. Kadar itu ditentukan daripada sesebuah tindakan yang sedang menuju ke arah yang tidak wajar dan ianya sepatutnya tidak berkaitan dengan perilaku mahasiswa itu sendiri dalam menyampaikan suara mereka kepada pihak atasan. Sebagai contoh yang sering diambil, iaitu demonstrasi mahasiswa. Demonstrasi merupakan sebuah prinsip dalam negara demokratik di mana ianya adalah medium rakyat untuk menyampaikan suara mereka kepada pihak atasan, dan dalam konteks mahasiswa, kepada pihak pentadbiran. Malahan dalam Perkara 10(1) Perlembagaan Persekutuan telah menggariskan bahawa (a) tiap-tiap warganegara berhaka kepada kebebasan bercakap dan bersuara; (b) semua warganegara berhak untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata; (c) semua warganegara berhak untuk membuat persatuan.[2] Argumen itu sudah cukup untuk membuktikan bahawa demonstrasi itu adalah sejajar dengan prinsip-prinsip dalam perlembagaan selagi mana saluran suara itu disampaikan secara aman dan tidak bertujuan untuk melakukan kekacauan dengan memiliki persenjataan ataupun melanggar hak-hak keselamatan awam.

Tetapi apabila hak kebebasan tersebut tidak diberikan sewajarnya dan kekangan demi kekangan diwujudkan dengan beralasankan “menjaga ketenteraman awam” sudah cukup untuk menjadikan institusi pengajian tinggi itu tidak lagi bebas untuk wujud sebagai sebuah hub pendidikan kepada warganya. Pemanipulasian undang-undang yang dijadikan alat kekuasaan telah membataskan ruang ahli akademik untuk menyampaikan suara mereka dan mengekang mahasiswa untuk tampil dengan pandangan yang kritis. Impian untuk melahirkan mahasiswa yang kritis tinggal sebagai sebuah bayangan yang sekadar untuk mengaburkan pandangan masyarakat. Kritis itu telah dijenamakan sebagai alat dokongan kekuasaan pemerintah dan sebarang pandangan yang kritikal terhadap pemerintah dilihat sebagai ancaman yang perlu dikekang dengan kekuasaan. Terlalu banyak contoh-contoh yang dapat ditampilkan yang dilihat sebagai kekangan terhadap kebebasan ruang akademik untuk terlibat dalam proses pembangunan negara. Antaranya ialah kes Prof. Aziz Bari,  Prof. Azmi Sharom dan Prof. Redzuan Othman merupakan kes-kes yang melibatkan ahli akademik yang dikenakan tindakan tatatertib tertentu dengan alasan-alasan yang langsung tidak melindungi hak bersuara mereka dalam konteks akademik. Malah kita juga dapat melihat di UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) apabila Hanif Mahpa dan Afiqah Zulkifli digantung pengajian dua semester hanya kerana ingin mengadakan forum mengenai GST.

Perkara-perkara ini jelas menunjukkan bahawa dunia akademik di negara kita tidak lagi mempunyai kuasa perlindungan dalam membicarakan sesuatu perkara secara ilmiah apabila penentuan terhadap perkara-perkara yang ingin dibacarakan itu telah ditentukan oleh pihak penguasa. Pencabulan dunia akademik itulah yang akan terjadi sekiranya kekuasaan pemerintah dapat menyusup masuk ke kampus-kampus universiti dan menjadi polis terhadap kebebasan mahasiswa dalam membuat sebarang keputusan. Kerenah birokrasi dalam pentadbiran universiti seringkali menjadi sekatan terhadap kegiatan intelektual mahasiswa universiti menjadikan kelulusan mengadakan program menjadi lebih mudah sekiranya topik program itu tidak bertentangan dengan aspirasi yang dibawa oleh kerajaan. Keadaan itu sendiri adalah suatu ketidakadilan terhadap dunia akademik apabila penganjuran wacana-wacana ilmiah adalah bersifat selektif dan tanpa sedar pencabulan akademik itu bukanlah dilakukan oleh orang lain, malahan daripada pihak universiti itu sendiri jua. Selektif dalam dunia akademik ini dapat kita lihat apabila Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Sahol Hamid Abu Bakar dengan bangganya mengumumkan penglibatan mahasiswa universiti tersebut dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2015 di laman sosialnya. Memetik tulisan Hazman Baharom, ianya adalah suatu “malapetaka besar lagi bala bencana-lah halnya apabila sebuah institusi ilmu dibawa untuk terlibat aktif dalam program sebuah parti politik oleh Naib Canselornya sendiri.”[3]

MAHASISWA DAN INTELEKTUALISM

Ali Shariati by SinaGraphicMenyebut tentang intelektualisme, ianya mengingatkan saya kepada sebuah istilah yang dicetuskan oleh seorang pemikir revolusioner Islam Iran, iaitu Ali Syariati iaitu rausyanfikr. Ali Syariati mendefinisikan rausyanfikr sebagai pemikir tercerahkan (The Enlightened Thinker) yang sentiasa ingin menemukan kebenaran, memberikan penilaian seharusnya, berbicara dengan bahasa kaumnya, seseorang yang sedar keadaan masyarakatnya dan sentiasa menerima rasa tanggungjawab sosial.[4] Ianya adalah sosok intelektual yang berbeza dengan seorang ilmuwan yang hanya sekadar menampilkan fakta-fakta, berbicara pula dengan bahasa yang universal dan tidak kisah sama ada masyarakatnya faham atau tidak dengan perbicaraannya, dan terdiri daripada seseorang yang terpelajar. Tetapi intelektual tidak semestinya begitu. Seperti para Nabi, intelektual terdiri daripada sesiapa sahaja yang berjiwa besar dan mempunyai kesedaran terhadap kesejarahan dan keadaan masyarakatnya dan rasa bertanggungjawab untuk memimpin masyarakatnya ke arah suatu perubahan yang lebih baik.

Intelektualisme adalah suatu kesedaran yang sukar lebih-lebih lagi dalam kalangan mahasiswa hari ini yang telah ditawan mindanya dengan sistem CGPA, pembiayaan pelajaran, peluang pekerjaan, ketakutan untuk ditahan penguasa, keingingan berharta, dan lain-lain lagi. Ketertawanan minda tersebut telah menghasilkan mahasiswa dan mahasiswi yang beku dan mengenali universiti sebagai sekadar untuk tempat menerima pelajaran di bilik-bilik kuliah dan menyiapkan tugasan tepat pada waktunya agar tidak ditolak markah. Mereka sedang dilatih untuk menjadi ilmuwan-ilmuwan yang berpelajaran tinggi dan berkedudukan pada suatu hari nanti dan sistem pendidikan pemerintah sentiasa menekankan mereka untuk menjadi begitu dengan sebuah silauan bahawa apabila sudah mempunyai kedudukan dalam masyarakat dalam suatu hari nanti, maka mereka akan lebih layak untuk bersuara. Hakikat yang sebenarnya ialah minda mereka akan terus diperangkap dengan semua perkara itu dan walau sudah mempunyai kedudukan sebagai seorang ilmuwan terpelajar dalam masyarakat suatu hari nanti, minda mereka telah ditawan dan didoktrin sekian lama untuk memberi sokongan kepada penguasa kerajaan yang sekian lama menabur budi membiayai pengajian mereka dan banyak memberi kelebihan yang membawa mereka sampai kepada tahap sebegitu.

Minda tertawan (the captive mind) adalah sebuah istilah janaan Syed Hussein Alatas yang membawa maksud lain yang lebih merujuk kepada orientalisme. Sekadar meminjam istilahnya secara literal, saya lebih menjuruskan maknanya untuk merujuk kepada sebuah keadaan intelektualiti mahasiswa yang dilemahkan oleh sistem pendidikan yang mengikut silibus pemerintah dan ditawan mindanya dengan silibus-silibus yang hanya mendidik mereka dengan baik untuk menjadi seorang ilmuwan, tetapi tidak untuk seorang intelektual. Menjadi seorang intelektual adalah sesuatu yang ditakuti oleh pihak penguasa kerana mereka memiliki kebijaksanaan akal yang disusuli dengan rasa kesedaran terhadap masyarakatnya untuk merubah keadaan yang buruk kepada keadaan yang lebih baik. Kesedaran itu disalurkan dengan tindakan-tindakan yang bermula dengan mengeluarkan masyarakatnya daripada kejahilan dan penipuan yang tidak disedari dan disusuli dengan tindakan yang revolusioner. Tindakan revolusioner itu tidaklah saya maksudkan dengan perlunya turun di jalan raya dan menggerakkan suatu tindakan yang radikal dalam bentuk fizikal, tetapi radikalisme itu berada dalam bentuk mental ataupun idealisme yang disalurkan dalam bentuk yang lebih tepat menurut masa dan keadaan setempat sehingga perubahan itu mewujudkan suatu kesedaran kepada penguasa kerajaan bahawa masyarakat tidak lagi boleh untuk diperkotak-katikkan dengan begitu sahaja dan tidak lagi boleh dimain-mainkan dengan janji-janji politik yang seringkali bersifat ilusi.

Dalam hal ini, pemaknaan universiti sepatunya menjadikan mahasiswa lebih berkesedaran ke arah intelektualisme yang lebih mendekatkan diri mereka dengan realiti kemasyarakatan dan menjadi seseorang yang lebih bertanggungjawab terhadap persekitaran di sekelilingnya. Kampus universiti adalah medan terbaik untuk mahasiswa mengenali realiti dan tidak sekadar terperuk di dalam bilik untuk mengulangkaji. Ketirisan pembudayaan ilmu di universiti menyebabkan roh sebenar universiti semakin pudar dan makna pendidikannya dalam erti kata yang sebenar semakin hilang. Keupayaan intelektualisme mahasiswa ini sepatutnya perlu diperkuat kerana ianya adalah akar kepada keupayaan idealisme dan aktivisme mahasiswa untuk bergerak di barisan hadapan dalam memperjuangkan hak-hak masyarakat. Saifuddin Abdullah dalam bukunya, Kalau Saya Mahasiswa menyatakan bahawa intelektualisme adalah “merujuk penghayatan budaya ilmu yang berasaskan tiga prinsip, iaitu meletakkan ilmu dan ilmuwan di tempat tertinggi; setiap individu sentiasa menuntut, menyebar dan mengembangkan ilmu; dan setiap keputusan dan tindakan dibuat berlandaskan ilmu.”[5] Saifuddin Abdullah menjadikan idealisme, aktivisme, dan intelektualisme sebagai rukun mahasiswa dan saya bersetuju dengannya apabila beliau menyatakan bahawa,

“Hanya memiliki idealisme dan aktivisme, tetapi tanpa intelektualisme, memungkinkan pemimpin mahasiswa/masyarakat sivil bersemangat dan rajin berbuat program, tetapi kerana tidak berbekal ilmu, maka ianya tidak tahu bagaimana hendak menghasilkan kemajuan dan keberkesan yang berganda. Hanya memiliki idealisme dan intelektualisme pula, tetapi tanpa aktivisme, memungkinkan pemimpin mahasiswa/masyarakat sivil bersemangat dan cerdik, tetapi kerana tidak berbuat apa-apa, maka ia tidak akan menghasilkan sesuatu yang praktikal dan konkrit. Manakala hanya memiliki aktivisme dan intelektualisme, tetapi tanpa idealisme, memungkinkan pemimpin mahasiswa/masyarakat sivil rajin dan cerdik, tetapi kerana tidak berprinsip, maka ia boleh dijual beli.”[6]

Sebab itu adalah amat penting keseimbangan itu wujud dalam diri mahasiswa untuk lebih berupaya menggerakkan sebuah gerakan kesatuan yang mewujudkan sebuah solidariti dalam sebarang perjuangan. Tetapi yang lebih penting ialah kefahaman ilmu itu harus lebih jelas terlebih dahulu agar sesebuah perkara yang diperjuangkan tidak sekadar berdiri di atas retorik kata-kata semata-mata. Perjuangan yang berlandaskan kepada semangat semata-mata tanpa kefahaman ilmu yang mendalam akan meletakkannya ke dalam sebuah risiko kesilapan yang besar dan hal itu akan lebih meruntuhkan nilai integriti mahasiswa itu sendiri dalam sesebuah perjuangan.

Saya lebih melihat bahawa dalam keadaan persekitaran universiti sekarang memerlukan kepada penilaian semula terhadap bentuk aktivisme mahasiswa yang perlu lebih menjurus kepada bentuk intelektualisme dan berada di sebalik tabir. Aktivisme tidak lagi boleh diharapkan dengan sesuatu yang sekadar bersifat vokal seperti demonstrasi dan ruang pengucapan awam (speaker corner) kerana ternyata perkara-perkara seperti itulah yang sememangnya akan ditutup ruangnya oleh orang yang memegang kuasa. Corak pergerakan aktivisme mahasiswa harus bertumpu kepada intelektualisme iaitu dengan memperbanyak wacana-wacana ilmu yang membincangkan persoalan kampus universiti, kemasyarakatan atau kenegaraan. Kesedaran itu dibina daripada bawah kerana yang paling penting buat masa sekarang ialah membebaskan mahasiswa-mahasiswa daripada penjara minda tertawan yang membuatkan mereka sentiasa takut dengan sebarang tindakan yang menjejaskan masa hadapan mereka kerana corak masa hadapan mereka telah ditentukan daripada awal lagi bermula daripada silibus pendidikan sekolah rendah. Pembebasan ketertutupan minda tersebut tidak boleh diharapkan dengan jalan yang bersifat vokal, tetapi perlu dengan jalan intelektual. Ketertarikan mereka terhadap pembudayaan ilmu akan secara tidak sedar menjadikan pemikiran mereka lebih kritis dalam membuat penilaian dan membentuk kesedaran pertanggungjawaban dalam diri mereka. Keadaan yang sebegitu sedikit demi sedikit akan membawa perubahan terhadap cara mahasiswa berfikir dan secara tidak langsung kekuatan solidariti itu sendiri dapat terbentuk apabila mereka sudah mula memahami apa yang sedang berlaku di sekeliling mereka.

Akhir sekali, saya ingin menyatakan juga adalah amat ganjil sekali apabila pengurusan tertinggi sesebuah universiti di negara ini adalah orang-orang yang dilantik secara politik dan mempunyai kepentingan politiknya sendiri dan hal ini pula adalah sesuatu yang sudah termaktub dan dijamin di dalam AUKU. Dalam Perkara 16 AUKU memberi kuasa kepada Naib Canselor untuk menggantung atau membubarkan mana-mana pertubuhan, badan atau kumpulan pelajar manakala Perkara 4 AUKU pula memberi kuasa kepada Menteri untuk memilih orang yang layak dan sesuai bagi jawatan Naib Canselor.[7] Dalam sebuah negara yang sentiasa melaung-laungkan demokrasi, sepatutnya kampus universiti adalah sebuah kampus yang berdiri secara bebas dan tidak menerima sebarang pengaruhan politik melainkan pengurusan tertingginya sewajarnya dipilih secara demokratik melalui pengurusan dalaman universiti itu sendiri, bukannya terlibat dengan mana-mana entiti luar yang belum tentu memahami suasana dan kehendak dalaman kampus. Kewujudan sistem birokrasi yang seperti itu di dalam kampus universiti, maka tidak hairanlah bahawa sebenarnya AUKU adalah sebuah undang-undang yang bertujuan mengekalkan kestabilan politik lama dan membimbangi kebangkitan kesedaran intelektual dalam kalangan mahasiswa.

PENUTUP

Mahasiswa perlu mula berhenti mengeluh dengan kekangan-kekangan yang wujud untuk menggerakkan sebarang aktivisme. Keluhan yang wujud lebih daripada sedekad ini akan tinggal sekadar keluhan kerana akhirnya ianya tidak akan membuahkan apa-apa jika permasalahan tidak mampu dicerap dengan baik, dianalisis dengan tepat dan ditawarkan dengan betul. Perkara ini memerlukan kepada kekuatan dan kesabaran untuk menggerakkannya dan perlu kepada perancangan yang benar-benar teliti. Sejarah gerakan mahasiswa perlu diteliti kembali tetapi penelitian itu usah sampai tersangkut kepada wacana kenang-mengenang dan retorik ingin kembali kepada sejarah silam. Ianya tidak akan berfungsi. Penelitian sejarah perlu dibuat dalam membina wacana intelektualisme mahasiswa yang baru dan pembinaan naratif sejarah yang baru dengan wajah dan idea yang tersendiri. Dalam masa yang sama, perlu sedar bahawa di universiti, autoriti yang tertinggi adalah autoriti ilmu, bukan autoriti politik. Ketidakfahaman dalam hierarki ini akan menyebabkan pemaknaan universiti itu sendiri menuju ke daerah kematian.

Akhir sekali, mahasiswa perlu mula kembali kepada persoalan asas, “Apa makna universiti dan apa tujuan mahasiswa ke universiti?”

_____________________________________________________

[1] Lihat Syed Hussein Alatas, Intelektual Masyarakat Membangun

[2] Lihat Perlembagaan Persekutuan, perkara 10(1)(a)(b)(c)

[3] Lihat Hazman Baharom, Tuan Profesor, Universiti itu Bukan (Parti) Kamu Yang Punya

[4] Lihat Ali Syariati, Ideologi Kaum Intelektual, Suatu Wawasan Islam

[5] Lihat Saifuddin Abdullah, Kalau Saya Mahasiswa

[6] ibid.

[7] Lihat Akta Universiti Dan Kolej Universiti 1971 (pindaan 2012), Perkara 4 & Perkara 16

______________________________________________________

12191346_10205287354365789_6741883250117521508_o (1)

Ahmad Muziru Idham merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial dengan Kepujian ( Kajian Antarabangsa ) Universiti Malaysia Sarawak ( UNIMAS )