BUSANA MUSLIMAH, PEMODAL DAN FETISHISME

30 April 2016  oleh Fairuzzaman Shaharuddin

“Biarlah orang Melayu Islam nak berniaga, nanti zakat itu hasilnya nanti pergi kepada orang Islam juga.”

Saya sering skeptikal dengan ungkapan sebegini. Pertama, definisi Melayu dan Islam di Malaysia ini semuanya termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Ini bermakna, istilah-istilah itu terpahat dalam lingkungan ‘state‘ (negara). Pemerihalan Melayu dan Islam juga amat berkait dengan kepolitikan dan sentiasa dimainkan oleh elemen partisan untuk pengekalan status quo mereka sendiri. Umumnya, orang Melayu dan agama Islam di Malaysia saling terkait dan berjaya membentuk identiti tersendiri sehingga mampu menjadi faktor ‘pemujuk’ orang Melayu itu per se khususnya melalui sandaran kuat terhadap Institusi Beraja.

            Kedua, menurut laman sesawang Lembaga Zakat Selangor, ‘zakat’ bermaksud untuk membersihkan harta dan membersihkan diri orang kaya daripada bersifat kedekut dan bakhil. Tulisan ini tidak akan membahaskan lebih lanjut tentang zakat daripada sudut syarak dan hikmahnya. Walau apapun, boleh dijejerkan bahawa zakat adalah sebuah kewajipan dan dituntut oleh semua orang Islam. Seperti juga Melayu dan Islam, zakat diletakkan dibawah peranan negara melalui institusi yang menguruskan hal ehwal ini. Justeru, haruslah diakui bahawa hubungan Melayu, Islam dan zakat adalah sangat akrab termasuklah juga atas faktor negara itu. Melayu, Islam dan negara jarang dipecah dan dipermasalahkan dalam ruangan marhaen. Semuanya dikumpul dan dimasukkan dalam sebuah bakul.

            Ketika tulisan ini dihasilkan, kita dikejutkan dengan dua peristiwa penting. Pertama, kebocoran maklumat tabung pinggir pantai dikenali sebagai Panama Leaks; kedua, sebuah kelompok masyarakat di Malaysia sedang berjihad di Bandar Baru Bangi demi mendapatkan produk-produk fabrik bersalut Muslimah. Tumpuan saya pada peristiwa yang kedua.

KAPITALISME LARUT DALAM ISLAM

  isu-hudud-cahayaislam.net_Saya tidak pasti sama ada kita sedar ataupun tidak bahawa corak perniagaan sekarang berakar daripada kapitalisme moden Barat. Tetapi sebaliknya, dalam pada masa yang sama, saya fikir ramai sebenarnya sedar dan sangat pasti bahawa corak pemerintahan dan sistem pentadbiran kita sekarang juga adalah bersandarkan daripada belahan dunia disana. Manakan tidak? Hampir semua orang Melayu–Islam disini sangat positif untuk melaksanakan sistem hudud yang pernah digagaskan oleh sebuah parti berasaskan Islam dahulu. Malah, kita amat menyanjung pula paradoksikal negara jiran kita yang sekarang ini mengamalkan hudud vis a vis monarki. Ada juga yang mengejek-ejek sistem pentadbiran kita dan ada juga yang merasakan perbuatan mencuri boleh beres hanya dengan mengamalkan hudud.

            Skeptikal saya masih menebal jika ada yang menyanjung pemodal-pemodal Melayu–Islam atas dasar Melayu itu sendiri. Seolah-olah, amalan perniagaan kita hari ini kononnya seratus peratus menurut sunnah Rasulullah s.a.w seperti zaman kegemilangan Islam dahulu. Saya pasti, jika Rasulullah s.a.w juga terlibat dengan perniagaan tudung, dengan karisma baginda sebagai pemimpin, sebagai peniaga dan pemilik akhlak yang terpuji; baginda tidak akan sanggup meletakkan pelanggan-pelanggan baginda dalam posisi fetishisme seperti yang berlaku pada hari ini. Bersesak-sesak lelaki dan wanita, mengeluarkan produk yang terhad atas talbis ‘eksklusif’ sehingga harga maksimum boleh dirasionalkan dan menyantuni pelanggan seperti segerombolan unta.

            Tetapi usahlah khuatir, jika kita masih mahu menerima amalan kapitalisme sebegini, soal moral dan etika dalam berniaga itu bolehlah dikesampingkan. Malah, yang paling penting adalah keuntungan maksimum yang kelak akan dikaut oleh pemodal. Jika kita masih memikirkan bahawa keuntungan pemodal busana Muslimah ini akhirnya akan menghilir ke pusat zakat demi keuntungan orang Islam sendiri, jadi kita perlulah menerimanya dengan hati terbuka.

FETISHISME KOMODITI DAN PERNIAGAAN MUSLIMAH

            Apa yang berlaku dalam perniagaan busana Muslimah hari ini sangat strategik dalam legitimasi perniagaan, khususnya di Malaysia. Faktor-faktor pemujukan seperti Melayu,–Islam dan zakat diadun dengan faham kapitalisme moden adalah formula-formula yang sangat mujarab untuk menjana keuntungan. Ramuan-ramuan ini betul-betul mujarab seperti air mineral yang dibacakan 30 juzuk Al-Quran. Sementelahan pula, kita sangat romantis dengan hujah-hujah fetishisme komoditi yang merasionalkan produk sebagai keperluan harian kita. Produk-produk ini dilarutkan dengan faktor-faktor sosial seperti budaya, etnik dan agama sehingga menjadikan seolah-olah wujud entiti pemodal Muslim–bukan Muslim. Ditambah pula dengan rangkuman kesemua istilah-istilah ini yang jarang kita (baca: masyarakat umum) bahas dan permasalahkan secara serius.

 cq5dam.web.1280.1280Kita berilusi seolah-olah semua pemodal Muslim berniaga berlandaskan Rasulullah s.a.w dan pemodal bukan Muslim berniaga a la George Soros. Kita lupa, ada peniaga bazaar Ramadhan yang—saya pasti orang-orang Muslim—berniaga ‘karipap inti angin.’ Bagi saya, kapitalisme juga seperti cinta; buta dan tidak mengenal sesiapa. Sudah tentu, untuk melariskan produk, kita akan dimomokkan dengan pelbagai hujah psikologi. Hujah-hujah seperti “Krim pemutih wajah untuk kulit yang gelap”, “Gigi yang cantik akan menaikkan seri wajah” atau kes yang hangat di Facebook dahulu apabila seorang agen insuran ‘menyalahkan’ individu yang tidak membeli insuran hayat terlibat dengan kematian dan akhirnya ‘mengakibatkan’ keluarganya ‘merana’—ini adalah contoh-contoh perniagaan yang bermain dengan psikologi manusia agar terus mengkonsumsikan produk-produk mereka.

            Begitu juga dengan istilah ‘busana Muslimah’ yang saya fikirkan adalah sebuah rasional yang bermain dengan psikologi Melayu–Islam sehingga melenyapkan identiti pemodal—yang sebenarnya—tiada beza antara Melayu, Cina, India, Kaukasia, Negrito dan lain-lain. Cuma saya melihat, ‘zakat’ yang dikenakan kepada pemodal Islam ini hanya berbeza daripada segi kefalsafahan berbanding ‘cukai’ yang dikenakan kepada pemodal bukan Islam. Dan kefalsafahan zakat ini entahkan memberi kesan mendalam kepada pemodal ataupun tidak.

            Disebalik hanya jumlah melanin yang berbeza-beza dan membentuk warna kulit ini, saya optimis dengan: pemodal adalah pemodal dan agamanya adalah satu—keuntungan

___________________________________________________________

315902_405669442873416_1119935280_nFairuzzaman berasal dari Slim River, Perak. Merupakan lulusan Sarjana dari Universiti Kebangsaan Malaysia dalam bidang Sains Politik.